Arkib Viewers

Wednesday, December 26, 2012

HOLY WAR : Chapter 3 - Kebangkitan Keluarga Zinki

          Keadaan sosial dan politik masyarakat Islam ketika itu merupakan faktor utama yang membantu kejayaan angkatan tentera salib I. Pertembungan dalaman dan peperangan sesama sendiri antara pewaris-pewaris kerajaan Saljuk adalah faktor pembantu kepada kejayaan Salibiah di negeri syam.

          Suasana yang buruk ini berpunca dari hilangnya asas agama, keruntuhan akhlak dan nilai kemasyarakatan. Dunia Islam memerlukan kepada kebangkitan baru seorang pemimpin yang mampu menyelamat dan mengembalikan keamanan, menghapuskan kezaliman dan kerosakan kepada muslimin khususnya dan dunia seluruhnya.

          Suasana buruk ini terus kekal walaupun selepas penjajahan salibiah sehinggalah Allah mendatangkan beberapa orang pemimpin yang soleh yang berusaha menghapuskan suasana tersebut. Gerakan ini bermula dengan kebangkitan keluarga Zinki yang kemudiannya diikuti dengan kebangkitan keluarga Al-Ayubi.


KELUARGA ZINKI


          Keluarga Zinki (Qasimuddaulah Aqsanqar) mula dikenali di zaman Sultan Malikshah As-Saljuki. Beliau adalah hamba dan sahabat kepada Malikshah. Apabila Malikshah ditabalkan sebagai sultan, Aqsanqar dilantik menjadi menteri dan ketua tenteranya. Kemudian Aqsanqar dilantik menjadi gabenor di Halab dengan arahan dari Malikshah.

          Pentadbiran Aqsanqar di Halab berterusan sehinggalah berlaku peperangan antara beliau dengan Tajuddaulah yang berakhir dengan kematiannya pada tahun 487H. Beliau hanya meninggalkan seorang anak kecil bernama Imaduddin berusia 10 tahun.


IMADUDDIN ZINKI AL-ATABIK


          Imaduddin di zaman kecilnya berada di bawah jagaan pewaris dan sahabat-sahabat ayahnya. diantara yang terkenal ialah Imaduddin Karbughar, raja Mausil. Beliau terlibat dalam serangan ke atas kerajaan salibiah pada zaman mudanya yang menampakkan ketokohan dan keberaniannya sehingga mendapat perhatian sultan saljuk dan Khalifah Abbasiah. Pada tahun 516H, beliau dilantik menjadi ketua polis Basrah dan pada tahun 519H dilantik menjadi ketua polis di Baghdad dan Iraq. akhirnya, pada tahun 521H beliau dilantik sebagai gabenor di Mausil. Dari sinilah terbukanya ruang untuk beliau memulakan kebangkitan.

          Imaduddin Zinki adalah seorang yang mempunyai hemah yang tinggi. beliau tidak mempunyai kepentingan atau tujuan lain selain dari membentuk sebuah kerajaan Islam yang bersatu dan mampu menyekat kemaraan salibiah sekaligus menghapuskan bahaya mereka. Sistem politiknya dibina di atas asas mewujudkan keamanan dan keadilan di dalam negeri disamping berusaha meluaskan wilayah kerajaannya di luar. Dari sini kerajaannya mula meluas meliputi Jazirah Furat, Utara Furat, Hamsa, Halab, Baklabak dan Mi'ratun-Nu'man. Semua wilayah dalam negeri Syam berjaya ditakluk kecuali Damsyik dan kerajaan-kerajaan salibiah. Perlu diingat bahawa kerajaan-kerajaan salibiah dan kerajaan Damsyik merupakan musuh utama kepada kebangkitan yang di bawa oleh Imaduddin Zinki.


PEMBUKAAN RAHA


          Pembukaan terbesar yang pernah dilakukan oleh Imaduddin Zinki ialah pembukaan Raha pada tahun 1144/539H dari rajanya Goslene II. Raha merupakan kerajaan salibiah yang pertama dibina oleh mereka semasa perang salib I dan orang-orang kristian menganggapnya sebagai bandar yang mulia selepas Baitul Maqdis.

          Imaduddin meneruskan jihadnya sehingga tahun 1146/541H apabila beliau mati dibunuh ketika tidur oleh hamba yang dirancang oleh musuh-musuhnya. Peristiwa ini berlaku semasa kepungan ke atas kota Ja'bar dilakukan.


NURUDDIN MAHMUD ZINKI


          Dengan kematian Imaduddin, kerajaannya telah dibahagikan kepada dua orang anaknya yang tertua. Sebelah timur diserahkan kepada anaknya yang tertua, Saifuddin Al-Ghazi yang berpusat di Mausil sementara sebelah barat diserahkan kepada Nuruddin Mahmud yang berpusat di Halab. ini bermakna kerajaan yang dipegang oleh Nuruddin terpaksa berhadapan dengan kerajaan salib. Perhubungan yang baik dan intim antara kedua-dua saudara ini merupakan jaminan yang besar kepada kestabilan kerajaan mereka.

          Selepas kematian imaduddin zinki, musuh-musuh beliau mengambil kesempatan dari kematiannya untuk merampas kawasan-kawasan yang berada di bawah kekuasaannya. Goslene II merampas kembali Raha dan raja damsyik merampas Baklabak. Rampasan ini telah menggerakkan tentera Nuruddin seramai sepuluh ribu untuk mengambil kembali Raha. Akhirnya pada November 1146/Jamadil akhir 541H Raha berjaya dikembalikan ke tangan muslimin iaitu hanya selepas seminggu dirampas oleh Goslene II. Seterusnya Nuruddin bertindak meluaskan kerajaannya ke kawasan jajahan salibiah.

          Di tengah-tengah kesibukan usaha ini, Eropah menerima berita kejatuhan Raha dan kebangkitan keluarga Zinki dan Nuruddin. mereka mula merasa bahaya dari kebangkitan ini lalu membuat persediaan untuk melancarkan perang salib II.




No comments:

Post a Comment