Arkib Viewers

Tuesday, April 2, 2013

HOLY WAR : Chapter 5 - KERAJAAN SALAHUDDIN AL-AYYUBI

PERLANTIKAN SALAHUDDIN AL-AYYUBI


          Selepas kematian Asaduddin Syirkuh, Khalifah Fatimiah Al-A'did bersetuju melantik Salahuddin sebagai menteri yang baru. Oleh kerana kerajaan Fatimi berfahaman Syiah dan tidak tunduk kepada kerajaan Abbasiah di Baghdad, Salahuddin cuba mengikis suasana itu. Semasa usaha dilakukan, Khlaifah Fatimiah Al-A'did meninggal dunia iaitu pada Muharram 567H/1171. Dengan ini bermakna berakhirnya kerajaan Fatimiah di Mesir yang telah memerintah semenjak tahun 362H.


KERAJAAN SALAHUDDIN


          Dengan kematian Al-A'did, semua kuasa diserahkan kepada Salahuddin. Kerajaan ini secara langsung tunduk kepada kerajaan Nuruddin.Salahuddin meneruskan penaklukannya ke selatan Mesir dan selatan Jazirah, iaitu Hijaz dan Yaman. Kerajaan ini kekal tunduk kepada kerajaan Nuruddin sehinggalah kematiannya pada Syawal 569H/1173. Nuruddin hanya meninggalkan seorang anak yang berumur sebelas tahun menyebabkan kerajaannya di Syam mengalami perpecahan dan pentadbirannya tidak terurus.

          Melihatkan kepada keadaan ini, Salahuddin mengambil tindakan untuk menakluk Damsyik pada tahun 1174/570H dan kemudian meneruskan kerjanya menyatukan semua kerajaan Nuruddin di bawah kekuasaannya. Beliau mencapai tujuannya pada tahun 1186/582H apabila utara Iraq, Kurdistan, Syam, Yaman, Mesir dan Barqah berada di bawah kerajaannya.


PENAKLUKAN SEMULA BAITULMAQDIS

PERANG HITTIN


          Pada tahun 1187/583H, Salahuddin berazam untuk membebaskan Baitulmaqdis, beliau bertolak dari Damsyik menuju ke Ras al-Mak iaitu tempat tenteranya berkumpul. Dari situ, beliau meneruskan perjalanan menuju ke Karak dan Syawabak kemudian kembali ke Tiberius. Kedua-dua pihak bertemu di Hittin dan pertempuran hebat berlaku yang berakhir dengan kemenangan besar kepada Salahuddin. Salibiah mengalami kekalahan yang teruk dimana sepuluh ribu orang tenteranya mati dan raja Baitulmaqdis ditawan.


          Salahuddin melahirkan sikap toleransi dan lemah lembut dengan memaafkan raja Baitulmaqdis dan membebaskannya. walaubagaimanapun beliau memerintahkan supaya Rahib Dawiah dan Rahib Istibariah dibunuh dan beliau sendiri membunuh Raja Karak yang pernah melanggar perjanjian.


PENYERAKAN BAITULMAQDIS


          Setelah mencapai kemenangan yang besar di Hittin, Salahuddin menuju ke aka. Penduduk Aka meminta keamanan dan pada Jamadil Awal 583H/1187. Beliau memasuki Aka sementara penduduknya berpindah ke Sour. Kemudian beliau meneruskan kemaraannya untuk membebaskan Asqalan. Selepas mengepungnya selama 14 hari, asqalan jatuh ke tangan muslimin. dari sini (Selepas menguasai kawasan persekitaran pantai dan sekitar Baitulmaqdis) Salahuddin mula melancar serangan ke atas Baitulmaqdis.

          Pengepungan ke atas Baitulmaqdis hanya berjalan selama seminggu apabila penduduk Baitulmaqdis meminta keamanan. Penyerahan ini menamatkan penguasaan Salibiah dan Baitulmaqdis kembali ke tangan Muslimin selepas 88 tahun jatuh ke tangan Salibiah. Pada Oktober 1187M/Rejab 583H, Salahuddin masuk ke Baitulmaqdis. Beliau tidak melakukan kekejaman sebagaimana yang pernah dilakukan oleh tentera salib terhadap muslimin dalam perang salib yang pertama dahulu. Beliau memberi kebebasan kepada mereka untuk menebus diri dengan bayaran sebanyak 10 dinar bagi lelaki, 5 dinar bagi perempuan dan 2 dinar bagi kanak-kanak. sesiapa yang tidak mampu membayarnya selepas 40 hari akan dijadikan hamba. Orang-orang kristian keluar beramai-ramai di bawah pengawasan tentera Islam menuju ke sour dan mereka disyaratkan supaya tidak kembali memerangi muslimin.

          Tindakan yang dilakukan oleh Salahuddin ini bertujuan untuk menjaga jiwa manusia semampu yang mungkin. Walaubagaimana pun, tindakan ini telah merangsangkan mereka untuk melanggar perjanjian yang dibuat setelah mereka mendapati bilangan mereka yang ramai.