Arkib Viewers

Monday, February 27, 2012

Ilmu Kebatinan itu Sesat???

Source : From E-mail


AsSalaam,
Satu pendapat yg adil utk kita renungkan bersama.
Ianya berkenaan mereka² yg melabelkan pembelajaran ilmu kebatinan sebagai sesat.


Tak de hal nak belajor ilmu kebatinan ni..

Hukum ni kekadang dibubuh pasal namanya kemelayuan..kalau dah disaintifikkan jadi harus le pulak.

Cam mandi bunga..ada yg letak hukum haram serta leh rosakkan aqidah..tapi bila disebut2 sebagai aromatheraphy, ada pulak yg dulu bagi hukum tersebut leh tukor jadi harus ler pulak.

Syirik ni pada perbuatan, perkataan, dan ingatan/sandaran..bukan pada benda, ilmu, atau apa2.

Cam citer guna azimat utk kalis peluru, hukumnya syirik. Tapi bila guna baju kebal kalis peluru tidak pula syirik..

Bila orang2 melayu belajor ilmu persilatan..selalu dikaitkan ngan syirik. Jadi melayu2 ni riuh ler belajor seni2 pertahanan diri dari kaum dan budaya lain.
Semua jenis martial art..menuju kearah kekuatan mental dan rohani..kerana kekuatan fizikal ada batasnya. Yakni semua akan menjurus dalam bidang kebatinan..sebut je ler apa,, karate, shaolin kung fu, ninja, aikido, boxing siam dll.
tahap martial art tertinggi..apabila badannya mampu ikut kekuatan mental dan rohani yg mana kekuatan, kejituan, dan kepantasan adalah satu tahap diluar kebolehan manusia biasa.

Semua latihan menjurus, bersilat, main bunga silat dsb..semua latihan nak menyelaraskan akal, hati dan tubuh badan..tu je. dalam rentak tari persilatan..ada latihan penumpuan.
Cam latihan memanah. menunggang kuda, bermain pedang dizaman nabi saw dan para sahabat ra.
Utk benar2 mahir memanah..akal, kekuatan diri, kekuatan minda, dan sekelian aset pada tubuh badan zahir dan batin, rohani dan jasmani hendaklah jadi satu..barulah mantap. sambil menunggang kuda masih mampu memanah ngan tepat!! Gitu juga bermain pedang, jika betul2 ikut hukum akal, mata tak mampu melihat libasan2 pedang lebih2 pada mereka yg mahir..mata batin diperlukan, mata batin tidak melihat ngan mata biasa..dan mata batin pula batasnya pada diri.

Menjaga senjata..semua senjata perlu dijaga. Senapang, pistol dsb. Senapang dan pistol contohnya penjagaannya tak pula jatuh hukum syirik, tapi penjagaan keris dijatuhkan hukum syirik.

Manusia ni luar biasa..ciptaanNya yg terbaik..malah mengatasi apa2 yg ada Jibrail as, para malaikat, jin dan syaitan dan sekelian makhluk. Bayangkanlah malaikat2 tersebut adalah khadam yg ditugaskan utk uruskan rezki2 manusia dll keperluan manusia ..semada manusia tu kapir atau beriman. Bayangkan betapa istimewanya manusia. Malah syurga2 yg gitu luas dan hebat hanyalah kampung halaman je, betapa yg pemiliknya yg syurga itu dicipta untuknya?

Terlalu banyak hal manusia yg kita tak tahu!! Tak tahu dan tak faham, mengaku je ler..usahlah kerana tak tahu dan faham kita jatuhkan hukum syirik. Masa zaman aku sekolah dulu, ramai gak ulamak jatuhkan hukum belajor sains adalah syirik!!

Bagi aku yg syirik ialah..bila ada saja yg pelik dilakukan oleh manusia kita kaitkan ngan kekuatan makhluk lain...dan yakin pulak bahwa keistimewaan dan kepelikan tu wujud dari benda atau makhluk tertentu ngan sendirinya tanpa apa2 kaitan ngan kuasa Allah swt, ...kemudian menyembah benda atau makhluk tersebut dan menafikan Allah swt..atau ada sesuatu yg berkuasa ngan sendirinya sama spt Allah swt...Allah swt tiba2 je ghaib!!

Mungkin, ilmu kebatinan ni kena tukar kepada perkataan sains..spt metafizik, potential energy, telephaty, elctromagnetic energy, magnetic resonance, wave and frequency energy.

Ulamak2 dulu..spt Imam Shafie, Ghazali, Razi, Abd Kadir Jilani..mereka bukannya sahaja fasih dalam hukum hakam dan soal2 agama..AQ comfirm hafal. Tapi mereka juga mahir dalam ilmu kimia. fizik, Math, dll. Ulamak2 hari ni..kabor suruh kita cintai ilmu, tapi mereka terhenti dimana mereka mahir saja (umumnya ler). Kita ingin juga seorang alim tahap mufti ada sarjana Phd dalam ilmu2 math, dan sains..

Banyak kebolehan2 yg ada dalam diri kita..pasal kita tak berapa kisah hal diri kita sendiri, maka banyak kebolehan2 ni yg pernah menonjol jadi tenggelam..dan tak der usaha nak mengenal dan mengasahnya.

Nabi dan Rasul adalah manusia..para sahabat adalah manusia..para auliya pun adalah manusia.
Kemuliaan mereka pada pangkat dan kedudukan..tu adalah kurniaan. Macam jawatan nabi. minta maap ler ianya telah dibekukan.

Tapi potential diri..umumnya ada pada semua manusia!! Ianya terpendam ..
Mahfum ayat AQ surah atTin ..ianya terpendam dan kena timbulkan melalui iman dan amal soleh..
Tahap tertinggi yg leh dicapai ialah tahap Nabi saw..mampu nak redah atau tidak je dari segi mental, jiwa, dan fizikal.
Ada antara sahabat nabi saw..yg mana nabi saw kabor jika ada nabi selepasnya maka sipolan tu ler sebagai nabi..

Jgn mudah jatuhkan syirik pada sesuatu yg kita bukan ahlinya. Jangan tengok dipermukaan kemudian buat keputusan utk orang tersebut. Syirik khafi pula adalah syirik yg tersembunyi dalam hati. Takkan kita nak beritahu orang bahwa kita ni leh baca apa yg trkandung dalam hati seseorang sedangkan tuan punya badan pun tiada pengetahuan tentangnya..hebat tu.
Kalau mampu melihat apa isi kandung hati sanubari seseorang..syukurlah!!

Syirik khafi ni tak yah tunggu belajor ilmu kebatinan..pasal makan nasi je dah cukup!! malah tahap alim ulamak pun ramai kantoi lagi.
_________
Unsur pemujaaan..ni kata kita. Yg kita nampak..

Aku leh kabor orang yg sedang basuh ketanya ada unsur pemujaan..pasal dia guna bahan-bahan tertentu dan ada susunannya. Kalau basuh keta tak baca ayat2 AQ atau brzikir, rugi ler...

Kita ni orang Islam..nabi saw ajor kita pakai baju sekali pun ada tertib2nya..ada bacaan/doanya, ada bilangan2nya, ada had/batas dan potongannya, ada warna2nya dsb. Ishh unsur2 pemujaan ini..
______
Kita selalu kabornya kata "ana ni jahil, ana ni belajor lagi"..tapi kelakuan kita tidak ler pulak...dah jahil, dan masih belajor tapi leh dah putuskan sesuatu secara pukalnya ianya adalah syirik!!


Thanks to Tahrul Adha Taib

Friday, February 17, 2012

Seindah Kata : Versi Sajak - Tuhan ku Satu


Tuhan…

Kejadianku daripada tanah..

Tanah adalah hina, dipijak-pijak orang, dilempari orang dengan najis-najis, kotoran dan sampah sarap ke atasnya. Orang pijak dan orang buat berbagai perkara di atasnya.

Tanah sedar bahawa dirinya hina, maka ia dapat menerima kehinaannya itu dalam bentuk apa sahaja. Lakukanlah ke atasnya dia boleh menerima tanpa bantahan. Tanah boleh terima apapun yang dibuat kepadanya. Pijaklah tidak mengapa! Lemparlah apa saja kepadanya,

Buatlah apa saja kepada aku, aku redha. Seolah-olah begitulah tanah berkata kalau dia boleh bersuara.

Tanah kalau dicurahkan air kepadanya tetap diserapnya ke dalam badannya. Air adalah simbol Rahmat dan Berkat, ia mudah menerimanya dan tidak menolaknya. Kalau air itu berlebih dari yang terserap, air itu sangat berguna kepada benda lainnya. Boleh diminum oleh makhluk Tuhan, boleh pula membersihkan najis dan kekotoran di belakangnya.

Karena redha, tanah itu subur pula oleh air dan sampah sarap yang dilempar ke atasnya. Karena suburnya orang bertani di atasnya, ramai makhluk yang mendapat manfaatnya.

Di atasnya juga orang memelihara ternakan menjadi hasil pula kepada negara. Orang bangunkan kemajuan, orang bangunkan tempat tinggal dia terima saja.

Tanah (bumi) karena tawadhuknya ramai makhluk dan manusia mendapat manfaatnya. Sungguh banyak budinya kepada manusia dan makhluk Tuhan.

Tuhan…

Begitulah kejadian tanah, begitulah tabiat tanah sentiasa merendah diri setiap masa. Buat apa saja ke atasnya boleh dia terima. Hasil dari itu banyak khidmatnya kepada makhluk dan manusia

Tuhan…

Aku adalah dijadikan daripada tanah, aku hina. Karena kejadianku dari tanah hina, Engkau kekalkanlah tabiat dan sifatku seperti tanah.

Jadikanlah aku orang tawadhuk seperti tanah. Kalau orang hendak mengata dan menghina aku, jadikanlah aku boleh menerimanya. Aku redha dengan kata-kata penghinaan itu karena aku memanglah hina, sesuai dengan kejadianku.

Tuhan…

Engkau jadikanlah aku boleh berkhidmat kepada manusia dengan berbagai cara. Sesuai dengan tanah kejadianku, yang banyak berkhidmat kepada manusia makhluk-Mu

Jadikanlah aku boleh berkhidmat dengan manusia. Dengan ilmuku, dengan fikiranku, dengan tenagaku, dengan hartaku, dengan kemaafanku, dengan kasih sayangku, dengan senyumanku, dengan kemesraanku, dengan kesabaranku. .

Tuhan…

Engkau kekalkanlah tabiat dan sifat tanah itu pada diriku hingga tiba kematianku. Yang mana aku dari tanah dijadikan, bertabiat tanah kekalkan, kepada tanah aku akan dikembalikan dan terimalah aku bersama redha-Mu

Monday, February 13, 2012

Questions & Answers - Mengenai Lihat Aura, Scan dan Pantang Larang

soalan ini pernah diutarakan pada thread Budi Suci Sejati dimana ianya mengenai seorang hamba Allah yang hanya meletakkan identitinya 'dari kedah' :



Question: adakah awak jenis yg boleh tengok org?? maksud saya tengok aura sekeliling org tu?
dapat tahu tahap kebatinan atau apa2 pada seseorang??
ada pantang larang tak nk belajar?? adakah ia susah??
saya berada di kedah


Answer: untuk soalan sebegini jawapannya ialah boleh.. atau BOLEH dengan TETAPI... kenapa hamba kata BOLEH itu adalah kerana Budi Suci Sejati adalah satu keilmuwan atau amalan yang cukup tinggi kedudukannya dan tarafnya.. Ianya boleh melangkaui jauh dari apa yang kita fikirkan.. TETAPI nya pula ialah kerana ahli itu tadi perlulah betul-betul memahami apa itu BSS sedalam-dalamnya..seperti posting hamba yang lepas.. kalau dapat saudara bolehlah cuba bacanya dengan perlahan-lahan.. bukan kata sudah jadi ahli terus boleh melakukan 'perubatan', atau bukan hanya jadi ahli sudah boleh 'itu dan ini'..

Seperti posting hamba yang lepas.. setiap ahli mempunyai tujuan yang tersendiri untuk mempelajari BSS ini.. jadi  bagi ahli yang ingin mendalami BSS perlulah benar-benar faham apa itu BSS, mengkaji nya dari setiap sudut, cuba mencari dimana sebenar-benarnya yang dikatakan rahsia itu tadi dan pelbagai lagi yang perlu dilakukan...  Jadi baru perkataan BOLEH itu tadi benar-benar dikatakan BOLEH..

pasal perihal pantang larang itu telah hamba rungkaikan pada posting hamba yang lepas.. cuba saudara cari dulu dan baca.. insyaallah akan lebih berminat nanti..

Pasal soalan adakah ianya susah itu.. sebenarnya juga jawapannya terletak pada diri masing-masing.. SUSAH atau SENANG nya sesuatu ilmu itu bergantung pada diri kita sendiri.. baik dalam bidang akademik, Sains, Teknologi, Sukan.. Bak perumpamaan, sesetengah orang kata matematik itu susah, tapi segelintir lagi berkata matematik itu senang.. jadi begitu juga dengan BSS... semuanya datang dengan minat yang mendalam.. dan dengan usaha yang bersungguh-sungguh,insyaallah.. akan Allah S.W.t permudahkan jalan saudara..




Friday, February 10, 2012

From MISTISFILES : Puisi Kuatrain Nostradamus

Nostradamus atau nama sebenarnya, Michel de Nostredame adalah seorang pengamal perubatan di Perancis. Nostradamus terkenal kerana kumpulan puisinya yang telah diterbitkan di Lyon pada tahun 1555 yang terdiri dalam kelompok-kelompok seratus kuatrain (syair empat baris). Kumpulan puisi ini menjadi perhatian kerana ia sebenarnya adalah ramalan-ramalan tentang apa yang terjadi di dunia dan malah untuk menjadikannya lebih menghairankan sebahagian ramalan tersebut betul-betul terjadi, contohnya kemunculan Napoleon, kebangkitan Hitler, Perang Dunia I dan II dan yang paling popular adalah peristiwa 911.

Bagaimana Nostradamus mengetahui masa depan? Atau dari mana beliau mendapat semua maklumat tentang masa depan? Hakikat sebenarnya ialah beliau mendapat semua maklumat ini berdasarkan manuskrip-manuskrip lama yang asli ataupun yang telah diterjemahkan dari manuskrip asal, yang bersumber dari dunia Islam; semua ini akhirnya berpunca dari percakapan Nabi Muhammad s.a.w kepada para Sahabatnya tentang peristiwa akhir zaman. Sebenarnya terdapat sekelompok hadis Nabi yang semuanya berkaitan peristiwa yang terjadi pada masa depan atau lebih dikenali sebagai Hadis Akhir Zaman ataupun Hadis Fitan.

Antara sarjana Islam yang terkenal membicarakan Hadis Akhir Zaman ini adalah Ibnu Kathir. Hadis-hadis ini kurang mendapat perhatian kecuali segilintir darinya yang kebanyakan kita telah maklum iaitu yang membicarakan tentang persoalan TANDA-TANDA KIAMAT seperti kemunculan Dajal, turunnya Nabi Isa dan Padang Mahsyar. Kebanyakan hadis-hadis ini adalah masih bersifat rahsia dan hanya dapat ditemui di dalam kelompok manuskrip atau karya-karya ulama-ulama dahulukala. Kitab-kitab mereka pun digelar kitab-kitab Fitan. Sebenarnya sabda-sabda Rasullullah s.a.w adalah terlalu banyak; melampaui beribu-ribu hadis, maklumlah segala percakapan, perbuatan dan keputusan dari manusia teragung ini akan segera diambil tahu, dicatat dan direkod oleh para Sahabat selama baginda masih hidup di dunia ini. Tidak semua hadis nabi ini dimasukkan di dalam apa yang dikenali sebagai Enam Kitab Hadis Utama iaitu riwayat al-Bukhari, riwayat Muslim, riwayat Ibnu Majah, riwayat at-Tirmizi, riwayat Abu Dawud dan riwayat an-Nasa'i. Masih ada hadis-hadis lain yang sebahagiannya adalah percakapan spontan nabi; bukannya di dalam majlis-majlis rasmi atau pertemuan dengan para Sahabat mahupun khutbah-khutbah baginda.

Masalah terbesar dalam menentukan kesahihan hadis-hadis ini adalah percampurannya dengan hadis-hadis palsu, maudhu' atau lemah, berbanding dengan hadis-hadis dari enam riwayat utama itu di mana setiap ulama hadis memilih hadis-hadis yang terbaik sahaja dari segi riwayat, nasab dan pelbagai lagi tapisan yang semua ini terdapat dalam disiplin ilmu hadis. Tetapi mujurlah terdapat ulama-ulama Islam dahulukala yang terkenal contohnya Ibnu Kathir ini yang tidak diragukan taraf keilmuannya, mengkaji dan mengumpulkan hadis-hadis akhir zaman ini. Salah seorang Sahabat nabi terkenal mengetahui rahsia-rahsia akhir zaman adalah Huzaifah Ibnu Yaman r.a iaitu Penjaga Rahsia Nabi. Pada hari-hari akhir Huzaifah Ibnu Yaman r.a, beliau telah berkata, "Saya adalah orang yang lebih tahu akan semua fitnah yang akan berlaku sehingga hari kiamat. Baginda tidak merahsiakan sedikitpun tentang hal itu yang tidak diceritakan kepada sesiapa pun melainkan aku. Akan tetapi Rasullullah s.a.w telah menceritakan di dalam suatu majlis, di mana baginda telah sampaikan kepada mereka tentang fitnah yang akan terjadi; di antaranya terdapat fitnah besar dan fitnah yang kecil. Kumpulan manusia itu semuanya pergi kecuali aku."

Beliau berkata lagi, "Semua pembawa fitnah yang bilangan mereka mencapai tiga ratus orang, kalau aku mahu dapat kuberikan NAMA-NAMAnya, NAMA BAPAnya mahupun KEDIAMANnya sehingga hari kiamat. Kesemuanya diajarkan Rasullullah s.a.w kepadaku. Sesungguhnya kamu bertanyakan kepada Rasullullah s.a.w perkara-perkara yang baik, sedangkan aku bertanyakan yang buruk, kamu bertanyakan kepada baginda perkara yang telah berlaku, manakala aku bertanyakan PERKARA YANG AKAN BERLAKU."

Manakala Ali bin Abu Talib (karamallahuwajhah) berkata pula, "Tanya oleh kamu akan daku, demi Allah kamu tidak menanyakan aku tentang segolongan yang keluar memerangi ratusan atau menunjuki ratusan orang kecuali aku ceritakan kepada kamu siapa PENGANJURnya, KETUAnya dan PENCETUS atau PENGGERAKnya, di ANTARA kamu dan MASA terjadinya hari kiamat."

Sememangnya terdapat hadis-hadis ini yang ditemui nama seperti Hitler, Saddam atau Napoleon, cuma ia ditulis dalam loghat atau lenggok Arab ketika itu. Saya sendiri pernah membaca hadis-hadis ini cuma pada masa yang lain saya akan cuba menurunkan satu dua hadis seperti ini.

Berbalik kepada Nostradamus, tembelangnya pecah apabila para pesakitnya melaporkan ketika Nostradamus mengubati mereka, beliau telah mengucapkan sesuatu dalam bahasa yang dikenal mereka sebagai bahasa Arab malah kesemua ubat-ubatannya datangnya dari negara-negara Arab. Semua kata-kata pengubatan atau jampi-jampinya adalah dalam bahasa Arab (tidak diceritakan pula adakah jampi-jampi itu berasal dari al-Quran yang mulia). Kemudian ditemui pula satu manuskrip yang berisi pengakuan dari Nostradamus sendiri yang menceritakan kisah hidupnya, di antaranya terdapat rahsia yang amat besar ertinya kepada kita umat Islam; Nostradamus telah mengaku bahawa datuknya telah mencuri sejumlah manuskrip Baitulmaqdis dan turut juga terlibat bapanya melarikan manuskrip-manuskrip yang sangat berharga dari Baghdad, Mesir dan negara-negara Arab yang lain, dan mereka pun berhijrah ke Perancis. Perlu diingatkan bahawa Nostradamus berketurunan Yahudi dan keluarganya berasal dari Jerusalem (Baitulmaqdis) dan datuknya berkawan rapat dengan orang-orang Arab di sana dan semua rahsia sulit ini diajarkan kepada Nostradamus selaku cucu dan anak mereka, kesemuanya di dalam BAHASA ARAB! Jadi apalah hendak dihairankan dengan semua ramalan Nostradamus ini, jika akhirnya ia berbalik juga kepada sumber Islam yang kita selaku umat Islam telah pun tahu bahawa ia adalah kebenaran.

Tidak timbul soal ramalan-ramalannya menjadi benar kerana ia bersumber dari kata-kata nabi yang sememangnya benar! Jika anda ingin tahu lebih lanjut, pergilah ke kedai-kedai buku dan cuba hayati ramalan Nostradamus ini, anda akan temui beberapa ramalan akhir zaman yang menyerupai dengan apa yang kita dengar sebelum ini; dari ustaz mahupun ustazah, dari kitab hadis mahupun ceramah-ceramah agama. Terdapat beberapa kuatrain yang menceritakan penaklukan Islam ke atas negara-negara Barat yang diketuai oleh seorang penakluk yang agung! Yang saya hairankan buku puisi Nostradamus ini semuanya diterbitkan atau diimport dari Barat (ketika itu saya membacanya di kedai buku Popular) dan ditulis dalam bahasa Inggeris yang fasih; di dalam terjemahan dari kuatrain Nostradamus yang ditulis dalam bahasa Perancis, terang-terang terjemahan Inggeris itu menyatakan bahawa tentera Islam akan menakluk dunia, walaupun di dalam kuatrain itu tidak dituliskan perkataan Islam atau Arab! Mereka sudah tahu akan hal ini namun masih angkuh dan ego dan tetap mahu mengubah sejarah.

Dan kita selaku umat Islam. Saya masih sedih dengan segilintir umat Islam yang tidak mengambil peduli langsung tentang hadis-hadis nabi malah al-Quran yang agung. Bukan sahaja tidak mempedulikan langsung, malah ada juga yang tergamak berangan-rangan mahu keluar dari Islam (di antaranya di atas nama CINTA suci..huhu..). Orang-orang Barat berlumba-lumba mengkaji hadis dan manuskrip-manuskrip berharga dari dunia Islam. Malah mereka juga semestinya wajib mengkaji al-Quran yang penuh rahsia dan hikmah, di mana sejak kebelakangan ini al-Quran menjadi medium paling saintifik kerana membicarakan tentang Big Bang, Nebula, awan-awan hidrogen mahupun daya-daya nuklear. Di mana? Terdapat banyak sumber jika anda ingin cari dan insya Allah saya akan ungkapkan juga dalam artikel-artikel saya yang akan datang. Cukuplah surah al-Anbiya' yang menceritakan tentang Big Bang. Dan Surah Yaasin yang kita baca setiap malam Khamis, majlis kematian ataupun majlis-majlis lain tu sebenarnya ada mengungkap perihal banan api petroleum!

Ada kisah tentang seorang menteri berbangsa India (opps maaf, harapnya ini bukan kenyataan berbau sentimen perkauman, cuma kesedaran untuk umat Islam) yang saya tidak boleh sebutkan namanya dan kawasan parlimennya, beliau telah membuat satu lawatan ke satu kawasan di mana beliau telah memberikan ucapannya. Di dalam ucapannya beliau telah menyentuh tentang Al-Quran yang tidak ada dalamnya perihal jalan raya, lampu jalan mahupun jambatan!! Saya tidak pasti bagaimana mulanya ucapan beliau itu, mungkin mahu menangkis kenyataan-kenyataan dari satu parti orang-orang Melayu yang berorientasikan Islamik. Namun yang sedihnya, orang-orang Melayu di situ yang semestinya beragama Islam terangguk-angguk, tersenyum atau ketawa dengan 'jenaka' yang ditimbulkan oleh menteri tersebut. Jika menteri itu tahu (atau sengaja buat tak tahu) atau orang-orang Melayu Islam di situ tahu akan betapa agung, hebat, tepat dan besarnya Al-Quran sebagaimana sebahagian sarjana Timur mahupun Barat mengagumi dan menerima kebenarannya, sudah tentu ucapan, senyum mahupun ketawa bodoh yang tersangat cetek tahap pemikiran sebegitu tidak berlaku.

Tetapi biasalah, dunia ini penuh dengan politik....

Wednesday, February 1, 2012

PERIHAL BSS : Kewujudan Makhluk Manusia

Segala paparan di dalam siri ini telah di edit dari segi gaya bahasa, pengisian ayat, makna, istilah dan susun atur ayat yang lebih sesuai untuk pembacaan. Pengalaman membacanya sekali lagi di sini adalah berbeza dengan pengalaman membacanya di blog terdahulu.... harap maklum... Terima Kasih
 -----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Di dunia cipataan Allah S.W.T. ini yang penuh dengan kekayaanNya, Maka dengan penuh Rahsia dan hikmahNya yang hanya diketahui oleh Dia Yang Maha Mengetahui, maka diciptakan makhluk-makhluk yang pelbagai rupa bentuk dan jenis, bergolong-golong dan bangsa, ada yang melata, yang terbang, yang bersayap, yang bercahaya dalam pelbagai warna, malah masing-masing terjadi dalam sumber-sumber yang berbeza-beza dimana menunjukkan betapa KayaNya Allah S.W.T. itu sendiri yang mampu menciptakan pelbagai kehidupan malah mempunyai keunikannya yang tersendiri.

 Makhluk yang digelar manusia ialah suatu makhluk yang amat tinggi tarafnya berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Diciptakan dengan bahan atau sumber yang penuh Rahsia tetapi dianggap dari sumber yang penuh hina iaitu segumpal Tanah. Makhluk manusia juga dilantik sebagai khalifah di dunia ini sesuai dengan firmanNya yang bermaksud :

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata:"Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

 Jadi sebagai makhluk yang bergelar manusia yang mempunyai derajat yang tinggi di sisi TuhanNya, maka, manusia itu tadi telah diciptakan dengan 3 elemen penting yang menjadikan manusia itu Hidup dan bernafas di bumiNya sehinggalah sampai masa dia dipertemukan semula kepada Allah S.W.T..... 3 Elemen atau asas binaan makhluk manusia itu adalah seperti berikut :


JASAD
ROH
NAFAS

JASAD merupakan elemen kejadian ciptaan Allah S.W.T. yang mana ianya berbentuk, mempunyai rupa dan warna, boleh dilihat dengan mata kasar, dapat dihancurkan dan dapat dikaji oleh sesama manusia. Jasad yang tiada ROH dan NAFAS ibarat bekas yang tidak berisi air, cuma bekas kosong atau ibarat sebuah patung.

ROH pula merupakan elemen kejadian ciptaan Allah S.W.T yang mana ianya tidak berbentuk, tidak mempunyai rupa dan warna, tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tidak boleh dihancur dan dihapuskan, dan pengkajian tentangnya adalah sangat terhad oleh sesama manusia. ROH yang tiada JASAD dan NAFAS ibarat seperti air yang tidak berbekas, tidak dapat dipegang dan digunakan atau dimanfaatkan.

NAFAS pula merupakan elemen kejadian ciptaan Allah S.W.T. yang juga adakalanya digelar 'nyawa' yang merupakan elemen yang penuh dengan KERAHSIAAN. NAFAS diibaratkan seperti tali penghubung diantara JASAD dan ROH atau diibaratkan sebagai tali yang menghubungkan layang-layang dan si pemain layang-layang.

Ketiga-tiga elemen itu saling berkaitan diantara satu sama lain yang membawa maksud, tanpa salah satunya maka bukanlah manusia gelarannya. Keilmuwan Budi suci Sejati sangat berkait rapat dengan ketiga-tiga elemen ini dan akan dibincangkan dalam posting akan datang...

terima kasih

Di manakah DIA di hatiku

Source from E-Mail

Semasa Rasulullah s.a.w dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di gua Thaur, dalam perjalanan untuk hijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka… Ketika Sayidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w menenangkannya dengan berkata, “jangan takut, Allah bersama kita.” Itulah kehebatan Rasulullah, Allah sentiasa di hatinya.

Sewaktu Da’thur seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah saw lalu meletakkan pedang ke leher nabi Muhammad saw dan bertanya, “siapa akan menyelamatkan kamu daripada ku?”

Rasulullah saw dengan yakin menjawab, “Allah.” Mendengar jawapan itu gementarlah Da’thur dan pedang pun terlepas daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah saw… ada DIA di hati baginda.

Diceritakan bahawa suatu ketika khalifah Umar Al Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di tengah sebuah padang pasir.

“Boleh kau jualkan kepada ku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?” tanyanya kepada budak tersebut.

“Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja.”

“Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini, jika kau jualkan seekor kepada ku dan kau katakan kepada tuan mu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuan mu tidak akan mengetahuinya,” desak Sayidina Umar lagi sengaja menguji.

“Kalau begitu di mana Allah?” kata budak itu. Sayidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati budak itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya dia punya kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Jelas ada DIA di hatinya.

Satu ketika yang lain, Sayidina Khalid Al Walid diturunkan daripada pangkatnya sebagai seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh khalifah Umar. Esoknya, Sayidina Khalid ke luar ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat. Ketika ditanya mengapa, Sayidina Khalid menjawab, “aku berjuang bukan kerana Umar.” Ya, Sayidina Khalid berjuang kerana Allah. Ada DIA di hatinya.

Melihat enekdot-enekdot agung itu, aku terkesima lalu bertanya pada diri ku sendiri, di manakah DIA dalam hati ku? Apakah Allah sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk dan membujuk hati ku yang rawan? Allah ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta Allah bersemi. Jika cinta Allah yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya cinta selain-Nya yang ada di situ, maka cinta Allah akan terpinggir . Ketika itu tiada DIA di hati ku!

Sering diri ku berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidup ku, kata mereka (dan aku sangat yakin dengan kata itu), “ bila Allah ada di hati mu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki. ”

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah Allah menjadi tumpuan dalam hidup ku? Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-Nya? Bila bertembung antara kehendak-Nya dengan kehendak ku, kehendak siapa aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerananya? Tegakah aku membenci juga kerananya?

Muhasabah ini melebar lagi… Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam Mu? Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?

Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai Mu ya Allah. Dan aku juga tidak dapat mendustai diri ku sendiri. Aku teringat bagaimana satu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, “apakah engkau takutkan Allah?”

Dia menangis dan menjawab, “aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikap ku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan Allah bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat Allah tetapi aku tidak…” Maksudnya, sufi itu sendiri tidak dapat menjawab apakah ada DIA di hatinya…

Jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan Allah pun sukar bila ditanyakan apakah ada dia di hatinya, lebih-lebih aku yang hina dan berdosa ini. Di hati ku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta Allah dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, “adakah DIA di hati mu?”, aku hanya mampu menjawab, “aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-Nya…”

Justeru belum ada DIA di hati ku, hidup ku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari dengan langkah mujahadah ini. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunan-Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan-Nya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Begitu seperti yang selalu ku dengar daripada sebuah hadis Qudsi yang panjang. Dan akhirnya aku tiba pada satu keyakinan, di mana DIA di hati ku bukan menagih satu jawapan… tetapi satu perjuangan dan pengorbanan. Insya-Allah, aku yakin pada suatu masa nanti akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua! Insya-Allah. Amin.

Thanks to Tahrul Adha taib