Arkib Viewers

Wednesday, February 6, 2013

Mengenal Diri dan Wali Allah - BAB KEDUA : Perbezaan Nafsu Orang Awam Dengan Orang Wali

Dalam perbicaraan ilmu tasauf, peringkat-peringkat nafsu seorang dan alamat-alamatnya dapatlah dibahagi kepada tujuh darjat atau martabat, dan dalam peringkat-peringkat itu terdapat ahli-ahlinya bagaimana berikut  :

1. AHLI NAFSU AMMA-RAH

Tabiat hati ahli peringkat ini selalu terdedah kepada godaan hawa nafsu dan syaitan. Oleh itu nafsu amma-rah sentiasa menyuruh seseorang berbuat kejahatan sama ada ia faham perbuatan itu jahat atau tidak. Baik jahat sama di sisi perasaan hatinya. Ia tidak merasa duka atau menyesal di atas perbuatan jahat, malah kadang-kadang sebaliknya iaitu apabila ia berbuat jahat maka terdapat perasaan lega dan gembira di kalbunya.

Sebagai contoh : Jika tertinggal sembahyang misalnya maka tidak terdapat perasaan runsing atau kesal di atas peninggalan itu tetapi kadang-kadang meninggalkan sembahyang itu lebih memberi rasa ria' dan gembira untuknya. Dan kiaslah lagi contoh-contoh lain umpamanya jika ia mencuri atau dapat memukul orang maka perasaannya lebih gembira dan senang.

Firman Allah :

"Sesungguhnya nafsu (amma-rah) itu sangat menyuruh berbuat jahat"

Setengah daripada sifat-sifat garisan kasar yang timbul dari benih nafsu amma-rah yang cemar ini ialah :

- Bakhil
- Tamak
- Panjang angan-angan
- sombong Takabbur
- Ingin dan kasihkan kemegahan
- Ingin namanya terkenal dan masyhur
- Hasad Dengki
- Dendam kesumat
- khianat dan niat jahat
- Bertabiat lalai kepada Allah
- Dan lain-lain

Barangsiapa berasa meletup di hati atau merasa berdegup di kalbu dengan salah satu daripada sifat-sifat tersebut maka itulah tandanya ia termasuk dalam golongan amma-rah yang biadap itu : Kebanyakan orang awam kita tidak terkecuali jahil atau berilmu adalah  tak terlepas dari golongan nafsu ini. Bahkan termasuk dalam golongan ini juga sekalipun ia dari orang alim jika terdapat sifat-sifat seumpama itu, kerana dengan semata-mata banyak ilmu tidaklah menukar orang itu menjadi orang sufi  yang bersih hati. Syurga tetap tidak terjamin untuk orang nafsu amma-rah ini kerana ia adalah ibarat tembaga atau besi berkarat yang perlu dibakar lebih dahulu sehingga suci bersih. Syurga tidak terima barang-barang kotor kecuali apabila ia telah dibersih kerana syurga tempat yang bersih.

Nafsu amma-rah ini adalah serendah-rendah darjat dan sejahat-jahat nafsu dalam dunia perbicaraan tasauf. Oleh ituu tempat yang wajar untuk golongan ini ialah kawah neraka sebagai tempat penginapannya.

Jika mahu terkikis sifat-sifat berkarat dan kotor yang timbul dari benih nafsu amma-rah itu hendaklah ia masuk ke dalam golongan sufi serta mengikut cara peraturan orang sufi bagaimana ia dapat meleburkan sifat-sifat durjana yang melekat di hati itu. Dan tidak ada jalan yang lain daripada jalan ini jua kerana jalan ini sudah dicubai dan diistiqra'i oleh orang-orang sufi.


2. AHLI NAFSU LAWWA-MAH

Nafsu lawwa-mah ialah nafsu yang selalu mengkritik diri sendiri atau mencela diri sendiri apabila berlaku suatu kejahatan dosa di atas dirinya. Nafsu ini lebih elok dan tinggi sedikit darjatnya daripada nafsu amma-rah tadi kerana ia tidak puas hati di atas dirinya yang melakukan kejahatan lalu ia mencela dan mencerca dirinya sendiri. Sungguhpun darjat nafsu ini tinggi sedikit dari yang dahulu tapi tabiatnya sekali sekala tidak terlepas juga dari jatuh ke dalam jurang angkara dosa dan kejahatan, lalu ia cepat-cepat beristighfar kepada Allah serta menyesal di atas kesalahan yang dilakukan itu. Dalam Quran Tuhan Berfirman :

"Aku bersumpah dengan nafsu lawwa-mah (pencerca dan pengkritik diri)"

Sebagai contoh : Kalau ia tertinggal sembahyang misalnya terdapatlah perasaan kecut hati kerana menyesal  di atas ketinggalan sembahyang itu lalu ia terus pergi qadha' cepat-cepat dengan tiada perasaan hendak bertangguh-tangguh lagi dan bermohon ampun banyak-banyak kepada Allah dengan perasaan yang sungguh-sungguh dan kiaslah lagi di atas perbuatan-perbuatan yang seumpama itu.

Di antara sifat-sifat kasar yang timbul dari benih nafsu lawwa-mah itu ialah :

- Mencela kepada kesalahan diri sendiri
- Bertabiat berfikir (bertafakur)
- Terdapat perasaan kecut hati bila bersalah
- Terdapat perasaan mengkritik terhadap apa jua yang dikatakan kejahatan
- hairan kepada diri sendiri kerana disangka dirinya lebih baik (ajub)
- Membuat suatu kebajikan kerana hendak memperlihat kepada orang lain (ria')
- Memperdengar kepada orang suatu kebajikan yang dibuatnya supaya  mendapat pujian orang suma'ah
- Dan lain-lain daripada sifat-sifat keaipan hati.

Barangsiapa  berasa meletup di hati atau berasa berdegup di hati dengan sifat-sifat umpama itu maka itulah tandanya ia termasuk dalam golongan nafsu lawwa-mah.

Martabat nafsu lawwa-mah ini terletak pada kebanyakan orang awam yang kelas istimewa dari martabat amma-rah tadi. Kecuali dengan mendapat keampunan Tuhan dan rahmatNya kerana ia masih tertinggal melekat dihati sisa-sisa sifat kotor yang perlu dikikis habis iaitu seperti sifat-sifat ujub, ria', suma'ah, dan seumpama daripada sifat-sifat keaipan hati. Ibarat perak bercampur tembaga, dan nilaiannya tinggi dari tembaga berkarat tadi. Dan tak syak lagi bahawa sifat-sifat keaipan hati itu tidak akan terkikis habis-habisan dari lubuk hati melainkan dengan memakai penawar cara leburan orang-orang sufi jua. Lain-lain jalan yang belum dijumpai lagi kerana orang-orang sufi telah membuat cubaan demikian dan pada diri sendiri.

Firman Allah :

"Orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami akan Kami tunjukkan mereka jalan Kami"


3. AHLI NAFSU MULHAMAH

Apabila sifat-sifat yang terkeji yang terdapat dalam nafsu amma-rah dan lawwa-mah tadi berjaya dileburkan mengikut cara orang-orang sufi maka bertukarlah darjat nafsu yang tak berbau syurga tadi beralih corak menjadi nafsu mulhamah, nafsu mulhamah ini ialah nafsu yang sudah menerima latihan beberapa proses kesucian dari sifat-sifat hati yang cemar tadi melalui tareqat sufiah. Dan dari kerana kesucian hati itu, terbuanglah lintasan-lintasan fikiran kotor atau khuatir-khuatir syaitan dan mengambil alih di tempat itu oleh khuatir-khuatir dari malaikat atau dari Allah yang mana kita namakan 'ilham'.

Firman Allah :

"Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) lalu diilhamkan Allah kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucinya (nafsu) dan rugilah (celakalah) orang yang mengotorkannya (nafsu)"

Di antara sifat-sifat kasar yang timbul dari benih nafsu mulhamah yang baik itu ialah sifat-sifat terpuji bagaimana di bawah :

- Tak sayangkan harta sakhawah
- Berasa cukup dengan kurniaan harta yang ada (qana'ah)
- Berilmu laduni atau ilham
- Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (Tawadhu')
- Taubat yang benar-benar (hakiki)
- Sabar yang hakiki
- Tahan menanggung kesusahan
- Dan lain-lain daripada sifat-sifat yang terpuji

Barangsiapa benar-benar teguh merasa dihatinya dengan sifat-sifat tersebut maka itulah tandanya ia termasuk dalam golongan nafsu terpuji itu (mulhamah). Kebanyakan orang-orang sufiah daripada orang awam yang dahulu-dahulu adalah terdiri dari golongan ini. Mereka boleh dinilai atau disifat dengan ahli syurga kerana mereka diibarat sebagai 'suasa' yang tetap bertahan dan tidak boleh berkarat lagi.

Mereka dalam martabat ini boleh dikatakan baru mulai masuk ke sempadan maqam wali yakni mereka kerapkali baru mulai mencapai fana yang menghasilkan rasa makrifat dan hakikat (syuhud) tetapi belum begitu teguh dan kejap kerana mereka dalam martabat ini masih ada kemungkinan akan lenyapnya kembali segala sifat terpuji bagaimana disebut tadi dan kemungkinan hilang lenyap pula rasa makrifat dan hakikat dari hati.


4. AHLI NAFSU MUTMA-INNAH

Nafsu Mulhamah tadi sungguhpun bersih dan suci tetapi belum lagi ia sampai kepada kejernihan yang teguh dan apabila nafsu itu teguh dan tetap dalam proses memcapai makrifat dan hakikat dan melekat di hatinya sifat-sifat yang terpuji jua dan tetap pula terkikis dari kalbunya sifat-sifat yang tercela maka di waktu itu berhak ia mendapat gelaran maqam nafsu mutma-innah namanya. Nafsu Mutma-innah adalah permulaan mendapat darjat wali kecil.

Firman Allah Taala dalam Al-Quran :

"Wahai nafsu mutma-innah kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati suka-ria serta diredhai Tuhan maka masuklah olehmu dalam golongan hamba-hambaKu yang solih dan masuklah syurgaKu"

Sifat-sifat kerohanian yang timbul dari benih yang waja lagi comel (nafsu mutma-innah) ini ialah bahawa dapat dirasa dalam hati sendiri oleh orang-orang yang berjaya mencapai maqam nafsu yang bertuah itu, akan sifat-sifat di antaranya ialah :

- Murah hati dan tak lekat wang di tangan kerana bersedekah
- Tawakkal yang benar
- Bersifat arif dan bijaksana
- Kuat beribadat
- syukur yang benar
- Redha pada segala hukuman Allah
- Taqwa yang benar
- Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat hati yang waja lagi terpuji.

Biasanya  orang mencapai martabat ini tetapi tidak termesti, akan zahir padanya keramat-keramat  yang luarbiasa, mendapat ilmu dengan tak payah belajar (ilham) kerana ia dapat mengessan rahsia-rahsia Lohmahfuz. Syurga untuk orang golongan ini terjamin kerana mereka ibarat emas tujuh yang bermutu dan lebih mahal dari nilaian nafsu-nafsu yang lepas. Inilah dia nafsu mutma-innah.  Nafsu yang tetap bernilai dan terjamin dengan syurga bagaimana diterangkan oleh Tuhan dalam Quran tadi iaitu dialah yang wajar menerima jemputan Syurga Tuhan.


5. AHLI NAFSU RADHIAH

Tadi kita telah membicarakan nafsu mutma-innah yang memang sudah bergelar wali. Ini pula nafsu radhiah iaitu nafsu yang memang wali maqamnya tetapi ia lebih tinggi dari maqam wali mutma-innah tadi. Maqam nafsu ini dinamakan radhiah kerana selain daripada ia berjaya mencapai kejilahan dan kejernihan hati yang teguh itu maka nafsu ini terpocok kejap di dalamnya dengan perasaan keredhaan pada segala hukuman Allah. Bukan senang hendak mencapai maqam keredhaan nafsu ini kerana ia bukanlah umpama sebarang benda yang boleh disumbatkkan ke dalam sarang qalbu jika tidak ada sifat-sifat kelelakian yang benar-benar berhemah tinggi dalam perjuangan mujahadah dan ibadat untuk mencapai maqam nafsu mulia itu sebagaimana mengikut cara kaedah sufiah.

Oleh itu tabiat orang maqam ini adalah luarbiasa, ia tidak takut pada bala Allah dan tak tahu gembira pada nikmat Allah, yang ia tahu hanya keredaan Allah dan hukumanNya. Bahkan gentar gembira atau bala nikmat adalah sama jua di sisinya.

Malah segala masalah keduniaan sama saja di sisi orang-orang wali martabat ini. Wang ringgit sama dengan daun kayu, emas sama dengan tanah kering, segala kesusahan biasa mengenal hal-hal kehidupan dunia bagaimana tak tahan dirasa oleh manusia awam jauh sekali melekat di sarang hati mereka telah diisyaratkan oleh firman Allah :

"sesungguhnya orang-orang wali Allah itu tak pernah rasa ketakutan dan tak pernah rasa kerunsingan di atas mereka itu"

Mengapa hati mereka sampai begini sekali? Jawabnya ; kerana nafsu mereka sudah terkikis dari akar umbi kesemua sekali karat-karat yang cemar dan pula sinaran nur syuhud  yang membau mereka kepada makrifat, datang bertalu-talu masuk ke dalam hati nurani mereka yang tetap waja itu.

Alam di sekeliling mereka laksana cermin yang boleh mereka nampak Allah di dalamnya setiap ketika bagaimana mawam musyahadah terdapat dalam 'al-ihsan' pada umpama sabda Nabi S.A.W.

Maqam ini digelarkan wali Allah dalam martabat orang khawas. Dan mawam ini baru boleh diibarat emas bermutu lapan. Syurga memang terjamin. Di antara sifat-sifat kerohanian yang timbul dari benih radhiah yang berwaja dan tetap mahal nilaian ini ialah sifat-sifat yang berikut :

- Zahid
- Ikhlas
- Warak
- tinggal perkara-perkara yang bukan kerjanya
- tunai dan tepatkan hukum-hukum Allah
- Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat kerohanian yang tinggi-tinggi

Orang-orang wali maqam radhiah ini dapatlah ia mengecap nikmat sifat-sifat budi yang luhur atau sifat-sifat kerohanian yang tinggi itu dalam setiap ketika.


6. AHLI NAFSU MARDHIYYAH

Tak syak lagi maqam mardhiyyah ini lebih tinggi dari maqam radhiah kerana nafsu mereka dan segala hal atau segala apa-apa baik percakapan atau lakonan yang keluar dari mereka adalah diredhai Allah dan diakui Allah. oleh itu maka jadikan jiwa mereka, perasaan mereka, lintasan atau khuatir hati mereka, gerak geri mereka, penglihatan mereka, pendengaran mereka, percakapan mereka, pancaindera mereka, penumbuk tangan mereka, penendang kaki mereka, peludah air liur mereka dan seterusnya kesemuanya adalah diredhai Allah belaka.

Sabda Nabi S.A.W. dalam hadis Qudsi

"Sentiasalah hambaKu berdamping diri kepadaKu dengan mengerjakan ibadat sunat hingga aku kasihkan dia maka apabila Aku kasihkan dia nescaya adalah Aku pendengarannya yang ia mendengar dengan dia, penglihatannya yang ia melihat dengan dia, pertuturan lidahnya yang ia bertutur dengan dia, penampar tangannya yang ia menampar dengan dia, berjalan kakinya yang ia berjalan dengan dia dan fikiran hatinya yang ia berfikir dengan dia"

Maksudnya ialah segala perbuatan atau lakonan yang terbit dari hamba Allah yang wali umpama ini adalah kesemuanya berlaku dengan keredhaan Allah dan keizinan Allah belaka. Oleh itu maka timbullah dari sisinya perkara-perkara ganjil ajaib dan luarbiasa pada pandangan orang ramai umpama berjalan di atas air, terbang di udara, pergi ke Makkah dalam sekelip mata dan lain-lainnya. Dan kerapkali setengah daripada tingkah-lakunya terjadi sebagai tanda kenyataan Allah atau takdir Allah.

Ingatkah tuan cerita Nabi Isa A.S.? iaitu tatkala ia melawat sebuah kubur orang mati dan ia berkata kepadanya serta diisyaratkan kepada mayat dalam kubur itu yakni berdirilah engkau dengan izin Allah! Maka mayat dalam kubur itu pun hidup dan bangun berdiri dan berjalan hidup-hidup.

Cerita umpama itu juga berlaku pada Syeikh ahmad bin Idris (Imam Tareqat Ahmadiah) iaitu pada suatu hari, datang kepadanya seorang suami mengadu hal tentang kematian isterinya akibat ia memukulnya dengan tiada kesedaran dan menyebabkan ia menyesal di atas perbuatan itu, Sidi Syeikh pun jatuh rasa belas kasihan lalu ia pergi ke tempat isteri yang mati itu dan ia berkata kepadanya 'Bangunlah engkau dengan izin Allah' maka bangunlah mayat itu berjalan hidup-hidup.

Sebuah cerita lagi berlaku pada Syeikh abdul Qadir Al-Jailani iaitu tatkala ia sudah selesai dari makan dan tertinggal di hadapannya sisa-sisa tulang ayam, lalu ia menyeru kepada tulang-tulang ayam itu dengan katanya : 'Hai Tulang...! jadilah engkau ayam kembali!'. Maka terjadi tulang-tulang itu seekor ayam berlari hidup-hidup. Sedang ibu seorang budak khadam Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani menyaksi perkara ganjil itu dengan keadaan pelik.

Mengapa keganjilan demikian berlaku? Jawabnya, ialah kerana pengucapan-pengucapan orang maqam mardhiyyah umpama ini telah diredhai dan diizini oleh Allah S.W.T dan satu perkara yang sayugia diingat bahawa di hadapan orang yang umpama ini jangan-janganlah celupar mulut mengatakan sesuatu yang menyinggungkan hatinya, takut-takut terkeluar dari mulutnya pengucapan-pengucapan yang diredhai Allah maka jadi celakalah orang itu.

Berkata Imam Tariqat ahmadiah Sidi Syeikh Ahmad bin Idris Rahmatullah Taala yang masyhur keramatnya :

"Permulaan tareqatku ialah 'gila' diperkatakan orang. 

Di pertengahan jalan, datang bermacam-macam ilmu pemberian Allah dengan tak payah belajar.

Dan di akhir Tariqatku ialah 'kun fayakun' (maksudnya datang bermacam-macam keramat jika dikehendaki."

Dengan huraian di atas terang dan fahamlah kepada kita maksud kata-kata hadis qudsi yang mengandungi cerita-cerita keramat tadi.

Orang mencapai maqam mardhiah ini digelar wali Allah dalam martabat Khawas Al-Khawadh yakni wali Allah dalam martabat yang istimewa daripada wali-wali yang tertentu.  Ibarat emas bermutu sembilan, syurga tetap terjamin.

Sifat-sifat budi atau kerohanian yang timbul dari benih waja mardhiah yang bertuah ini, diantaranya ialah :

- elok dan tingginya budi atau kesusilaan, umpama nabi-nabi
- Lemah lembut dalam pergaulan masyarakat ramai bagaimana perangan nabi-nabi
- Sentiasa rasa selera perdampingan dengan Allah
- Sentiasa berfikir pada kebesaran Allah
- Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah
- Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat budi kesusilaan yang terpuji


7. AHLI NAFSU KAMIL

Orang yang hendak mencapai nafsu kamil ini mestilah ia lalui dahulu proses perjalanan nafsu-nafsu satu demi satu yakni dimulai dari nafsu amma-rah, kemudian lawwa-mah, kemudian mulhamah, kemudian seterusnya. Ini jika ia menurut jalan adab tarbiah cara teratur, berlainan orang majdzub maka ia mungkin terlipat atau melangkah jalan dengan cara cepat tetapi orang majdzub ini dibimbangi tidak akan mencapai kejayaan kerana ia tidak ada istiqamah dalam perjalanannya. di sana ada jalan lebih baik dan lebih teratur dari itu iaitu jalan adab tarbiah guru melalui suluk campur jazbah. Inilah jalan terbaik sekali dalam dunia suluk dan tarbiah, seperti yang terdapat pada tareqat ahmadiah, Naqsybandiah dan lain-lain lagi.

Oleh itu orang yang hendak mencapai maqam nafsu al-kamil ini bukan senang malah berhajatlah kepada semangat yang benar-benar tinggi hemah dan berani menempuh jalan yang sukar-sukar dan susah-susah. Syeikh Abdul Kadir al-Jailani umpamanya, selama tiga puluh tahun lebih ia merempuh jalan umpama itu, lain orang lain pula perjalanannya : ada masa yang singkat, ada yang lama.

Maqam nafsu al-kamil ini adalah tertinggi dan teristimewa sekali dari maqam wali-wali yang lain di atas muka bumi ini kerana ia dapat menghimpunkan antara batin dengan zahir atau antara hakikat dengan syariat. Kerana itu maka ia digelarkan maqam Baqa', kamil mukammil, Al-insan kamil, yakni ruh atau hatinya kekal dengan Allah tetapi zahir tubuh kasarnya bersama-sama dalam pergaulan orang-ramai, jadi pemimpin membentuk masyarakat ke arah jalan yang diredhai Allah, seperti bagaimana yang terdapat pada khalifah-khalifah khulafa Al-Rasyidin di dalam zamannya atau sebagainya. Hati mereka umpama ini adalah kekal dengan Allah, sama ada di masa tidur atau jaga kerana mereka dapat musyahadah dengan Allah dalam setiap ketika. Dan maqam ini tidak dapat dinilai dengan apa-apa benda kejadian di alam ini walaupun dengan harga emas sebesar dunia ini kerana ia maqam khawas al-khawas. di ketika itu maka jadilah gerak geri mereka, tutur kata mereka, tidur jaga mereka, makan minum mereka, dan kelakuan mereka adalah ibadat semata-mata.

Rasul-rasul, Nabi-nabi dan wali-wali besar adalah terdiri dari golongan maqam ini belaka, tetapi pangkat Rasul lebih tinggi dari Nabi kerana Rasul maqam risalah ibarat berlian dan maqam nubuwwah ibarat intan.

Sifat-sifat budi utama yang timbul dari benih nafsu al-kamil yang teristimewa ini ialah sifat-sifat kerohanian murni dan juga perangai-perangai terpuji bagaimana yang terdapat dalam peringkat-peringkat nafsu yang baik seperti kita telah huraikan dengan panjang lebar dahulu. Syurga untuk mereka maqam al-kamil ini tetap teristimewa. Ibarat emas bemutu sepuluh.


KESIMPULAN KAEDAH SUFIAH

Dari penjelasan-penjelasan yang lepas dapatlah kita buat kesimpulan suatu kaedah begini :

* Tiap-tiap rasul adalah nabi
* Tiap-tiap nabi adalah wali
* dan tiap-tiap wali adalah orang sufi

Jadi, Rasul itu adalah orang sufi lagi wali lagi nabi.

Dan tidak boleh dikatakan nabi kalau tidak wali. Dan tidak boleh dikatakan wali kalau tidak orang sufi. Dengan demikian maka rasul itu mestilah orang sufi mengikut pengertian bahawa rasul itu adalah benar-benar berhati kerohanian yang sufiah, dengan tidak dikira atau diiktibar dari mana asal-usul datang perkataan sufi itu.

KESIMPULAN MAQAM-MAQAM NAFSU DAN PEMBALASANNYA MENGIKUT LOJIK SUFIAH

Dan dari penjelasan-penjelasan yang lepas juga dapatlah kita faham bahawa golongan ahli surga terdiri dari orang-orang yang keimanannya bermaqam-maqam dalam darjah  nafsu dan makrifatnya. Oleh itu ahli syurga adalah mengikut maqam-maqam beribarat seperti berikut :

1. Maqam berlian
2. Maqam intam
3. Maqam emas sepuluh
4. Mawam emas sembilan
5. Maqam emas lapan
6. Maqam emas tujuh
7. Maqam suasa
8. Maqam perak

Selain daripada golongan itu maka semuanya dinilai ahli neraka belaka kecuali orang-orang yang mendapat rahmat besar dan keampunan dari Allah Azzawajalla. Ya allah ya Tuhanku! Ampunkanlah kami dari golongan orang awam yang banyak berdosa ini. Kalau tidak dengan rahmatMu maka celakalah kami di akhirat nanti.

Adapun orang-orang kafir yang sudah musnah keimanannya di dunia (negara nafsu) ini serupalah telur busuk temelar yang tidak boleh hendak dibaiki kembali lagi. Hendak digadai tak laku, jika hendak disedekah tak dipeduli orang bahkan dijerkah dan dilaknatnya kembali. Maka tempat yang wajar untuk orang yang demikian ialah dilontar sejauh-jauh ke dasar kawah neraka jahanam buat selama-lamanya.

Begitulah hikmat Allah yang sangat rahsia. Allah jadikan syurga berlapis-lapis mengikut  kadar darjah maqam-maqam nafsu dan begitu juga sebaliknya Allah jadikan neraka.

Untuk kita sekarang, ukurlah diri sendiri lebih dahulu, kita berbuat apa sekarang? kemana kita akan pergi? adakah kita dari golongan orang yang akan bernasib baik? kalau tidak, maka akan buruklah padah di akhirat nanti.





Friday, February 1, 2013

Perihal BSS : Matlamat, Prinsip dan Rukun Dalam BSS (I)

Segala paparan di dalam siri ini telah di edit dari segi gaya bahasa, pengisian ayat, makna, istilah dan susun atur ayat yang lebih sesuai untuk pembacaan. Pengalaman membacanya sekali lagi di sini adalah berbeza dengan pengalaman membacanya di blog terdahulu.... harap maklum... Terima Kasih

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Assalamualaikum W.B.T.

Seperti tajuk yang tertera seperti yang di atas, makanya, Amalan Budi Suci Sejati yang sedang kita menanggung ini adalah merupakan suatu keilmuwan yang mempunyai halatujunya tersendiri. Bila dikatakan ianya mempunyai halatuju, sudah tentu ianya mempunyai matlamat yang perlu dicapai. Setiap perkara di dunia ini mempunyai matlamat yang tertentu sesuai dengan keadaan dan juga kehendak perkara itu, contohnya anda bekerja untuk apa... sudah tentu untuk mendapatkan wang bagi perbelanjaan keluarga, untuk menaiktaraf kehidupan anda dan sebagainya. Begitu juga mengapa anda makan dan minum, matlamatnya adalah untuk menghilangkan fitrah lapar dan dahaga, untuk menjaga kesihatan, supaya mendapat tenaga dari zat makanan tersebut. Atau mengapa perlu anda tidur, sudah tentu matlamatnya untuk menghilangkan keletihan, mendapat rehat secukupnya, segar dihari kemudian, dan juga berkaitan dengan kesihatan mental dan fizikal. Oleh kerana manusia itu fitrahnya dijadikan sebagai makhluk 'berkehendak', maka setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini adalah pasti tertakluk di bawah matlamat dan halatuju yang perlu dicapai dengan apa yang kita usahakan.

Di setiap organisasi yang diwujudkan di dalam dunia kita ini, kesemuanya mempunyai matlamat dan halatuju, malah mempunyai prinsip dan juga rukun (Teras) yang perlu diikuti oleh ahli-ahli naungannya. Apakah matlamat penubuhan, halatuju yang perlu dicapai, prinsip yang harus dipegang dan diikuti, juga sesetengahnya yang mempunyai rukun-rukun atau digelar teras dan punca awal sehingga tertubuhnya sesebuah pertubuhan atau sesebuah organisasi tersebut. Negara kita Malaysia juga mempunyai rukun nya tersendiri yang digelar Prinsip Rukun Negara dan masih lagi dipegang dari 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara hinggalah kini tanpa sebarang perubahan.

Jika diistilahkan dari sudut bahasa, matlamat, rukun dan prinsip mempunyai maksud-maksudnya yang tersendiri...

MATLAMAT : Matlamat membawa maksud suatu perkara atau TUJUAN atas usaha dan daya atau PERKARA YANG INGIN DICAPAI setelah melakukan sesuatu atau suatu perkara yang menjadi HASIL DARI USAHA-USAHA YANG DILAKUKAN.

PRINSIP : Prinsip pula membawa maksud perkara-perkara yang mana menjadi PEGANGAN atau apa yang dijadikan KEFAHAMAN dimana ianya membezakan CARA atau SIFAT dari seseorang atau sesuatu prinsip yang dipegang oleh orang lain.

RUKUN : Rukun pula membawa maksud TERAS atau SUATU SIRI yang sebenarnya merupakan UNDANG-UNDANG perkara yang MEMPUNYAI KETERTIBAN dimana ianya harus DILAKSANAKAN dan dijadikan PANDUAN bagi sesuatu perkara yang menjadi prinsip atau PEGANGAN.


jadi jelaslah di sini bahawa perbezaan-perbezaan yang terdapat pada tiga ungkapan itu yang mana ianya membawa maksud dan pengistilahan yang berlainan diantara satu sama lain. Di dalam Keilmuwan Budi Suci Sejati itu sendiri juga terdapat nya ketiga-tiga perkara tersebut dimana ianya harus dipegang oleh ahli-ahli yang Ber-BSS antara mereka sedar ataupun tidak malah ianya sangat penting dalam memahami apa sebenarnya amalan yang sedang dipelajari dan yang sedang kita menanggung ini.

Menurut kajian penulis selama bertahun-tahun, MATLAMAT BSS (Halatuju BSS) ialah hanya ada 1, manakala PRINSIP BSS pula ada 3... dan RUKUN dalam BSS pula berjumlah 5 kesemuanya... Sebelum hamba cuba menghuraikan kesemua perkara-perkara tersebut, adalah lebih baik penulis cuba menjelaskan kekeliruan diantara PRINSIP BSS dan RUKUN BSS itu sendiri.

sehingga ke hari ini, ramai dikalangan ahli BSS itu sendiri hanya berpegang dan mempercayai bahawa terdapatnya 5 prinsip dalam BSS. Apa kandungan prinsip itu semua adalah benar sama sekali. Tetapi kekeliruan kecil itu hanyalah atas kerana perkataan tersebut adalah kurang sesuai dengan isi perkara tersebut. yang sepatutnya 5 perkara prinsip itu sebenarnya ialah RUKUN BSS.. bukannya PRINSIP BSS.. kerana apa???

kerana 5 isi perkara yang dikatakan PRINSIP itu sebenarnya ialah RUKUN jika dilihat dari 'isi kandungan' rukun itu sendiri.


Undang-Undang pengistilahan RUKUN dan PRINSIP :

Yang Pertama- RUKUN perlulah teratur atau tersusun mengikut urutan tetapi PRINSIP tidak
Yang Kedua- RUKUN perlulah lengkap ke-semuanya barulah dipanggil RUKUN dan adakalanya ianya dianggap tidak sempurna atau tidak lengkap bagi sesetengah RUKUN, tetapi PRINSIP tidak begitu, malah jika ada satu PRINSIP yang tidak dipegang pun tidak jadi perkara yang amat besar.

contoh RUKUN islam:

1. Mengucap dua Kalimah Syahadah
2. Sembahyang 5 waktu
3.Berpuasa di bulan Ramadhan
4. Membayar zakat
5. Mengerjakan haji ke Mekah


contoh RUKUN negara:

1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan Kepada Raja dan negara
3. Keluhuran perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-undang
5. Kesopanan dan kesusilaan



------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Dari keterangan di atas, maka, dapatlah dibuat kesimpulan, bahawanya PRINSIP BSS yang 5 yang selama ini dipegang oleh ahli-ahli Budi Suci Sejati adalah merupakan RUKUN atau TERAS BSS yang sebenarnya. Seperti huraian di atas, Maka atas sebab itu maka ungkapan RUKUN perlulah digunapakai bukannya PRINSIP.. tetapi terpulanglah pada mana-mana individu atau persatuan jika masih ingin menggunapakainya, ianya hanyalah kekeliruan kecil sahaja yang langsung tak memberikan apa-apa impak negatif kepada Amalan Budi Suci Sejati itu sendiri. tetapi mungkin salah dari segi undang-undang bahasa atau penggunaan ayat atas sesuatu perkara tersebut sahaja.


Kenapa BSS mempunyai MATLAMAT??? atau wujudkah MATLAMAT dalam BSS??

jawapan bagi persoalan itu ialah YA.. ianya memang WUJUD dan sepatutnya ADA.. kerana bagi setiap makhluk sendiri pun perlukan MATLAMAT dalam kehidupan mereka, hatta haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Bagi perkumpulan atau pertubuhan dan organisasi pula mestilah mempunyai MATLAMAT dalam apa yang mereka juangkan dan perkenalkan.. MATLAMAT itu merupakan TUJUAN. Samalah seperti amalan Budi Suci Sejati itu sendiri, mungkin ramai yang tidak sedar akan pokok perkara ini. Ada yang hanya belajar dan jadi ikut-ikutan. ada yang belajar dan mendalami. Ada yang tak belajar tetapi dah pun memahami Matlamat amalan Budi Suci Sejati itu tadi, malah ada juga yang tak tahu pun apa MATLAMAT sebenar BSS dari amalan Jurusan, Isi pokok Badan, dan sebagainya itu apa sebenarnya yang mereka perlukan dan kejarkan mengapa mereka perlu buat itu semua, apa hasil yang diperolehi dengan berbuat demikian dan sebagainya...

Untuk apa PRINSIP dalam BSS?? perlu ker PRINSIP dalam BSS dalam kehidupan sehari-harian??

Prinsip dalam amalan Budi Suci Sejati amatlah perlu dalam kehidupan kita sebagai pengamal Budi Suci Sejati, kerana tanpanya ibarat kita tiada PEGANGAN dalam mana kita mengamalkan keilmuwan Budi Suci Sejati ini. PEGANGAN dan KEFAHAMAN yang kita pegang itu tadi bukanlah diada-adakan tetapi lebih kepada suatu perundangan atau 'guide-line' supaya kita lebih berhati-hati dalam segala perilaku dan tindakan kita demi menjaga PEGANGAN atau PRINSIP kita itu. Jika bahasa remaja, orang yang tiada PRINSIP atau PEGANGAN dalam kehidupan seperti orang yang 'main langgar' ajerr, macam tu lah jadinya jika kita tiada PRINSIP dalam BSS apatah lagi dalam kehidupan kita sehari-hari. Prinsip dan Pegangan dan juga fahaman kita itu tadi sangat-sangat berkait rapat dengan MATLAMAT dan HALATUJU yang hendak dicapai.

RUKUN BSS?? kenapa perlu dinamakan RUKUN BSS??

RUKUN juga ialah perkara yang perlu dan WAJIB kita terapkan dalam kehidupan kita sehari-harian, contohnya seperti RUKUN sembahyang ada peraturan-peraturannya tersendiri. RUKUN merupakan UNDANG-UNDANG. Malah RUKUN atau TERAS amalan Budi Suci Sejati itu sendiri sangatlah penting dan paling UTAMA sekali kerana ianya merupakan 'core' bagi amalan Budi Suci Sejati. RUKUN perlu ada dalam mengharungi keilmuwan BSS ini malahan RUKUN jugalah yang menjadikan BSS itu suatu aturan yang konkrit. Mengapa ianya dipanggil RUKUN, contohnya seperti RUKUN HAJI, dimana semua RUKUN haji perlulah diikuti dan diyakini malah mengikut peraturan atau UNDANG-UNDANGNYA yang telah ditetapkan patah lagi jika salah satu RUKUN haji itu tertinggal, maka, tidak sempurnalah amalan Haji nya atau boleh terbatal.. Begitu juga dengan amalan Budi Suci Sejati dimana ianya mempunyai RUKUN tersendiri dan jika tidak diikuti RUKUN itu, atau tertinggal, maka tidak sempurnalah amalan BSS nya.



------------------------------------------------------------------------------------------------------------


MATLAMAT BUDI SUCI SEJATI
MENGHINDARKAN DIRI DARI SEGALA KEZALIMAN (YANG NYATA ATAU TIDAK NYATA)

PRINSIP BUDI SUCI SEJATI
-MERENDAH DIRI / TIDAK RIAK / TIDAK TAKBUR (SABAR)
-MANFAATKAN ILMU UNTUK KEBAIKAN
-TONJOLKAN SIFAT-SIFAT TERPUJI (TIDAK BERSANGKA-SANGKA)

RUKUN BUDI SUCI SEJATI
-PENGISIAN / ISI POKOK BADAN
-JURUSAN
-NAFAS
-MAKRIFAT
-KEYAKINAN / YAKIN



------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Jadi jelaslah bahawa setiap manusia mestiah mempunyai MATLAMAT, PRINSIP DAN RUKUN dari segi kehidupan, kewangan, ekonomi, perjuangan hidup malah bukan hanya pada orang perseorangan tetapi juga pada mana-mana pertubuhan atau perkumpulan orang yang sedang mempelajari, menurunkan dan memperkembangkan amalan Budi Suci Sejati itu. Mungkin ada diantara ahli yang mempertikaikan apa yang hamba huraikan misalnya kenapa MATLAMAT BSS macam itu, kenapa PRINSIP BSS macam itu, kenapa RUKUN BSS macam itu?? Jadi penulis akan berkongsi dengan lebih lanjut dan mendalam tentang setiap satu apa yang terkandung di dalam Isi kandungan MATLAMAT, PRINSIP DAN RUKUN BSS :


MATLAMAT BSS
:: MENGHINDARKAN DIRI DARI SEGALA KEZALIMAN (YANG NYATA ATAU TIDAK NYATA) ::

= Jadi maksudnya di sini ialah mengapa kita berjurus??? Mengapa perlu isi pokok badan??? pernahkah anda terfikir atau terlintas di fikiran anda tentang persoalan-persoalan begini??? Jawapan bagi persoalan tersebut Itu ialah kerana.. seperti maksud MATLAMAT amalan Budi Suci Sejati itu sendiri ialah 'MENGHINDARKAN DIRI DARI SEGALA KEZALIMAN (YANG NYATA ATAU TIDAK NYATA). Jadi yang sebenarnya apa yang semua ahli BSS kejarkan ialah MATLAMAT itu. manusia makan, minum, beribadat, bekerja dan berhibur mempunyai MATLAMAT dan tujuan-tujuannya tersendiri. Apakah kita hanya suka-suka tidur, atau suka-suka makan? begitu jugalah dengan amalan BSS.. jika tidak, maka sia-sialah sahaja usaha yang kita 'amalkan' selama ini jika kita tiada matlamat dan amalan BSS itu sendiri tiada MATLAMAT yang perlu dicapai. Jadi halatuju sebenarnya yang kita lakukan dan beramal dengan amalan Budi Suci Sejati adalah berTUJUAN untuk 'menghindarkan diri dari segala kezaliman', soal sama ada ianya menjadi atau tidak itu soal nombor 2. Soal Allah S.W.t meredhai apa yang dilakukan itu juga jatuh pada tangga seterusnya. Fitrah manusia itu saling Zalim menzalimi, maka fitrah manusia juga dijadikan mahu terhindar dari kezaliman yang mendatang dan ingin mencari suatu perlindungan secara zahir ataupun batin, kerana sesetengah manusia yang suka melakukan kerosakan dan kezaliman, maka wujud pula golongan sesetengah manusia yang mahukan perlindungan dari kerosakan dan kezaliman itu. Maka, telah JELAS bahawa MATLAMAT dan HALATUJU beramal dengan amalan Budi Suci Sejati itu adalah 'menghindarkan diri dari segala kezaliman'.

PRINSIP BSS
:: MERENDAH DIRI / TIDAK RIAK / TIDAK TAKBUR (SABAR) ::
:: MANFAATKAN ILMU UNTUK KEBAIKAN ::
:: TONJOLKAN SIFAT-SIFAT TERPUJI (TIDAK BERSANGKA-SANGKA) ::

= Sebagai pengamal Budi Suci Sejati atau yang telah memahami konsep yang terdapat dalam BSS itu sendiri, maka sepatutnyalah dia perlu mempunyai suatu PRINSIP sebagai seorang pengamal BSS. apabila sahaja anda telah bergelar seorang ahli maka yang pertama sekali ialah sifat MERENDAH DIRI perlu ada atau bahasa lainnya TIDAK TAKBUR. Maksud takbur di situ bukanlah hanya tergolong pada percakapan, malah tutur kata, pengucapan, tingkah laku, perbuatan, sifat diri, dan sebagainya.. semua itu perlulah dijaga supaya kita mempunyai ciri-ciri sebagai seorang ahli BSS yang benar-benar memahami konsep dalam BSS. Malah sebagai seorang pengamal BSS, apabila anda bersifat tidak RIAK atau TAKBUR secara tidak langsung anda perlulah ada SIFAT KESABARAN di dalam diri, itu merupakan permulaan bagi seorang yang merendah diri dan tidak RIAK dengan amalan yang dibawa.

Selain itu, Prinsip yang perlu dipegang oleh pengamal-pengamal Budi Suci Sejati ialah MEMANFAATKAN ILMU UNTUK KEBAIKAN, sama ada untuk kebaikan diri, keluarga, saudara mara, sahabat handai, sesiapa sahaja dan untuk sejagat. Dengan ILMU yang diperolehi, malah tidak TAKBUR dan RIAK dengan amalan yang dimiliki, secara automatiknya dan sepatutnya pengamal BSS itu dapat memanfaatkan amalan untuk dirinya. Bukan untuk mencari fasal dengan orang lain, bukan untuk ditunjuk-tunjuk kemegahan diri yang mempunyai ilmu di dada yang cuma merupakan pinjaman yang dipinjamkan oleh Allah S.W.t kepada kita untuk dimanfaatkan sebaik-baiknya. Dengan memanfaat Ilmu untuk kebaikan juga menjadikan kita berasa bahawa Ilmu yang kita bawa dan tuntut itu adalah sebuah ilmu yang tinggi nilai harganya, malah dapat digunakan dan dimanfaatkan bagi diri dan juga orang lain yang memerlukan.

Yang ketiganya, sebagai pengamal Budi Suci Sejati, cuba sedikit sebanyak mengubah diri anda untuk TONJOLKAN SIFAT-SIFAT TERPUJI di dalam diri. Apabila Prinsip pertama dipegang iaitu tidak Takbur atau Riak, dan Prinsip kedua juga jadi pegangan iaitu memanfaatkan ilmu ke arah kebaikan, Insyaallah secara automatiknya pula, Prinsip ketiga akan muncul dengan sendirinya, iaitu MENONJOLKAN SIFAT-SIFAT TERPUJI. Maksudnya disini, segala tingkahlaku, perbuatan, sifat dan keadaan diri menampakkan sifat-sifat terpuji yang disenangi oleh rakan-rakan atau keluarga. tidak cantiklah kalau orang awam nampak pengamal BSS yang berada di kelab-kelab malam atau mencari fasal dan bergaduh dengan orang awam, atau yang seumpama dengannya. Dari situ sahaja dah menunjukkan sifat-sifat negatif dan mungkin kerana sebilangan ahli-ahli yang sebegitu mungkin akan menjadikan bukan hanya individu tersebut, malah nama amalan Budi Suci Sejati itu sendiri akan terus di cop sebagai amalan yang tidak benar kerana tidak nampak langsung sifat-sifat terpuji yang ditonjolkan dengan beramalan dengan BSS. Lebih malang lagi bersifat Bersangka-sangka sesama manusia, merasa diri 'perfect' hinggakan bersangka buruk dengan orang lain yang mungkin tidak sesempurna diri sendiri yang disangka cukup sempurna bagi pandangan mata sendiri. Maksud TONJOLKAN SIFAT-SIFAT TERPUJI bukanlah disuruh anda menjadi 'alim' secara tiba-tiba.. pakai serban atau jubah secara tiba-tiba walhal ianya bukan pakaian anda sehari-hari, maksud di sini ialah anda cuba sedikit sebanyak berubah mungkin dari perkara-perkara yang terlampau keji kepada perkara-perkara yang mungkin elok sedikit dan boleh diterima.. contohnya, selama ini kuat menipu pelanggan, cuba jadi seorang yang jujur sedikit sebanyak, selama ini suka menimbulkan perbalahan dengan rakan sekerja misalnya, cuba bergaul dengan semua orang, terima pendapat orang lain, supaya pendapat kita pun boleh diterima pakai, selama ini suka cakap besar tidak mahu mengalah, cuba jadi seorang yang merendah diri menampakkan diri kita sebagai seorang pengamal Budi Suci Sejati yang sentiasa merendah diri dan bersabar dalam segala perbuatan dan banyak lagi boleh dilakukan untuk MENONJOLKAN SIFAT-SIFAT TERPUJI pada diri

Untuk RUKUN BSS akan disambung pada posting akan datang dibawah tajuk yang sama pada siri kedua nanti Insyaallah. RUKUN adalan ASAS atau TERAS dalam amalan Budi Suci Sejati itu sendiri, dan ianya perlu dihuraikan satu persatu untuk kefahaman semua Insyaallah.


Semoga berjumpa di posting yang sama ditajuk yang sama....


Terima Kasih dan Assalamualaikum