Arkib Viewers

Wednesday, February 6, 2013

Mengenal Diri dan Wali Allah - BAB KEDUA : Perbezaan Nafsu Orang Awam Dengan Orang Wali

Dalam perbicaraan ilmu tasauf, peringkat-peringkat nafsu seorang dan alamat-alamatnya dapatlah dibahagi kepada tujuh darjat atau martabat, dan dalam peringkat-peringkat itu terdapat ahli-ahlinya bagaimana berikut  :

1. AHLI NAFSU AMMA-RAH

Tabiat hati ahli peringkat ini selalu terdedah kepada godaan hawa nafsu dan syaitan. Oleh itu nafsu amma-rah sentiasa menyuruh seseorang berbuat kejahatan sama ada ia faham perbuatan itu jahat atau tidak. Baik jahat sama di sisi perasaan hatinya. Ia tidak merasa duka atau menyesal di atas perbuatan jahat, malah kadang-kadang sebaliknya iaitu apabila ia berbuat jahat maka terdapat perasaan lega dan gembira di kalbunya.

Sebagai contoh : Jika tertinggal sembahyang misalnya maka tidak terdapat perasaan runsing atau kesal di atas peninggalan itu tetapi kadang-kadang meninggalkan sembahyang itu lebih memberi rasa ria' dan gembira untuknya. Dan kiaslah lagi contoh-contoh lain umpamanya jika ia mencuri atau dapat memukul orang maka perasaannya lebih gembira dan senang.

Firman Allah :

"Sesungguhnya nafsu (amma-rah) itu sangat menyuruh berbuat jahat"

Setengah daripada sifat-sifat garisan kasar yang timbul dari benih nafsu amma-rah yang cemar ini ialah :

- Bakhil
- Tamak
- Panjang angan-angan
- sombong Takabbur
- Ingin dan kasihkan kemegahan
- Ingin namanya terkenal dan masyhur
- Hasad Dengki
- Dendam kesumat
- khianat dan niat jahat
- Bertabiat lalai kepada Allah
- Dan lain-lain

Barangsiapa berasa meletup di hati atau merasa berdegup di kalbu dengan salah satu daripada sifat-sifat tersebut maka itulah tandanya ia termasuk dalam golongan amma-rah yang biadap itu : Kebanyakan orang awam kita tidak terkecuali jahil atau berilmu adalah  tak terlepas dari golongan nafsu ini. Bahkan termasuk dalam golongan ini juga sekalipun ia dari orang alim jika terdapat sifat-sifat seumpama itu, kerana dengan semata-mata banyak ilmu tidaklah menukar orang itu menjadi orang sufi  yang bersih hati. Syurga tetap tidak terjamin untuk orang nafsu amma-rah ini kerana ia adalah ibarat tembaga atau besi berkarat yang perlu dibakar lebih dahulu sehingga suci bersih. Syurga tidak terima barang-barang kotor kecuali apabila ia telah dibersih kerana syurga tempat yang bersih.

Nafsu amma-rah ini adalah serendah-rendah darjat dan sejahat-jahat nafsu dalam dunia perbicaraan tasauf. Oleh ituu tempat yang wajar untuk golongan ini ialah kawah neraka sebagai tempat penginapannya.

Jika mahu terkikis sifat-sifat berkarat dan kotor yang timbul dari benih nafsu amma-rah itu hendaklah ia masuk ke dalam golongan sufi serta mengikut cara peraturan orang sufi bagaimana ia dapat meleburkan sifat-sifat durjana yang melekat di hati itu. Dan tidak ada jalan yang lain daripada jalan ini jua kerana jalan ini sudah dicubai dan diistiqra'i oleh orang-orang sufi.


2. AHLI NAFSU LAWWA-MAH

Nafsu lawwa-mah ialah nafsu yang selalu mengkritik diri sendiri atau mencela diri sendiri apabila berlaku suatu kejahatan dosa di atas dirinya. Nafsu ini lebih elok dan tinggi sedikit darjatnya daripada nafsu amma-rah tadi kerana ia tidak puas hati di atas dirinya yang melakukan kejahatan lalu ia mencela dan mencerca dirinya sendiri. Sungguhpun darjat nafsu ini tinggi sedikit dari yang dahulu tapi tabiatnya sekali sekala tidak terlepas juga dari jatuh ke dalam jurang angkara dosa dan kejahatan, lalu ia cepat-cepat beristighfar kepada Allah serta menyesal di atas kesalahan yang dilakukan itu. Dalam Quran Tuhan Berfirman :

"Aku bersumpah dengan nafsu lawwa-mah (pencerca dan pengkritik diri)"

Sebagai contoh : Kalau ia tertinggal sembahyang misalnya terdapatlah perasaan kecut hati kerana menyesal  di atas ketinggalan sembahyang itu lalu ia terus pergi qadha' cepat-cepat dengan tiada perasaan hendak bertangguh-tangguh lagi dan bermohon ampun banyak-banyak kepada Allah dengan perasaan yang sungguh-sungguh dan kiaslah lagi di atas perbuatan-perbuatan yang seumpama itu.

Di antara sifat-sifat kasar yang timbul dari benih nafsu lawwa-mah itu ialah :

- Mencela kepada kesalahan diri sendiri
- Bertabiat berfikir (bertafakur)
- Terdapat perasaan kecut hati bila bersalah
- Terdapat perasaan mengkritik terhadap apa jua yang dikatakan kejahatan
- hairan kepada diri sendiri kerana disangka dirinya lebih baik (ajub)
- Membuat suatu kebajikan kerana hendak memperlihat kepada orang lain (ria')
- Memperdengar kepada orang suatu kebajikan yang dibuatnya supaya  mendapat pujian orang suma'ah
- Dan lain-lain daripada sifat-sifat keaipan hati.

Barangsiapa  berasa meletup di hati atau berasa berdegup di hati dengan sifat-sifat umpama itu maka itulah tandanya ia termasuk dalam golongan nafsu lawwa-mah.

Martabat nafsu lawwa-mah ini terletak pada kebanyakan orang awam yang kelas istimewa dari martabat amma-rah tadi. Kecuali dengan mendapat keampunan Tuhan dan rahmatNya kerana ia masih tertinggal melekat dihati sisa-sisa sifat kotor yang perlu dikikis habis iaitu seperti sifat-sifat ujub, ria', suma'ah, dan seumpama daripada sifat-sifat keaipan hati. Ibarat perak bercampur tembaga, dan nilaiannya tinggi dari tembaga berkarat tadi. Dan tak syak lagi bahawa sifat-sifat keaipan hati itu tidak akan terkikis habis-habisan dari lubuk hati melainkan dengan memakai penawar cara leburan orang-orang sufi jua. Lain-lain jalan yang belum dijumpai lagi kerana orang-orang sufi telah membuat cubaan demikian dan pada diri sendiri.

Firman Allah :

"Orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami akan Kami tunjukkan mereka jalan Kami"


3. AHLI NAFSU MULHAMAH

Apabila sifat-sifat yang terkeji yang terdapat dalam nafsu amma-rah dan lawwa-mah tadi berjaya dileburkan mengikut cara orang-orang sufi maka bertukarlah darjat nafsu yang tak berbau syurga tadi beralih corak menjadi nafsu mulhamah, nafsu mulhamah ini ialah nafsu yang sudah menerima latihan beberapa proses kesucian dari sifat-sifat hati yang cemar tadi melalui tareqat sufiah. Dan dari kerana kesucian hati itu, terbuanglah lintasan-lintasan fikiran kotor atau khuatir-khuatir syaitan dan mengambil alih di tempat itu oleh khuatir-khuatir dari malaikat atau dari Allah yang mana kita namakan 'ilham'.

Firman Allah :

"Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) lalu diilhamkan Allah kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucinya (nafsu) dan rugilah (celakalah) orang yang mengotorkannya (nafsu)"

Di antara sifat-sifat kasar yang timbul dari benih nafsu mulhamah yang baik itu ialah sifat-sifat terpuji bagaimana di bawah :

- Tak sayangkan harta sakhawah
- Berasa cukup dengan kurniaan harta yang ada (qana'ah)
- Berilmu laduni atau ilham
- Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (Tawadhu')
- Taubat yang benar-benar (hakiki)
- Sabar yang hakiki
- Tahan menanggung kesusahan
- Dan lain-lain daripada sifat-sifat yang terpuji

Barangsiapa benar-benar teguh merasa dihatinya dengan sifat-sifat tersebut maka itulah tandanya ia termasuk dalam golongan nafsu terpuji itu (mulhamah). Kebanyakan orang-orang sufiah daripada orang awam yang dahulu-dahulu adalah terdiri dari golongan ini. Mereka boleh dinilai atau disifat dengan ahli syurga kerana mereka diibarat sebagai 'suasa' yang tetap bertahan dan tidak boleh berkarat lagi.

Mereka dalam martabat ini boleh dikatakan baru mulai masuk ke sempadan maqam wali yakni mereka kerapkali baru mulai mencapai fana yang menghasilkan rasa makrifat dan hakikat (syuhud) tetapi belum begitu teguh dan kejap kerana mereka dalam martabat ini masih ada kemungkinan akan lenyapnya kembali segala sifat terpuji bagaimana disebut tadi dan kemungkinan hilang lenyap pula rasa makrifat dan hakikat dari hati.


4. AHLI NAFSU MUTMA-INNAH

Nafsu Mulhamah tadi sungguhpun bersih dan suci tetapi belum lagi ia sampai kepada kejernihan yang teguh dan apabila nafsu itu teguh dan tetap dalam proses memcapai makrifat dan hakikat dan melekat di hatinya sifat-sifat yang terpuji jua dan tetap pula terkikis dari kalbunya sifat-sifat yang tercela maka di waktu itu berhak ia mendapat gelaran maqam nafsu mutma-innah namanya. Nafsu Mutma-innah adalah permulaan mendapat darjat wali kecil.

Firman Allah Taala dalam Al-Quran :

"Wahai nafsu mutma-innah kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati suka-ria serta diredhai Tuhan maka masuklah olehmu dalam golongan hamba-hambaKu yang solih dan masuklah syurgaKu"

Sifat-sifat kerohanian yang timbul dari benih yang waja lagi comel (nafsu mutma-innah) ini ialah bahawa dapat dirasa dalam hati sendiri oleh orang-orang yang berjaya mencapai maqam nafsu yang bertuah itu, akan sifat-sifat di antaranya ialah :

- Murah hati dan tak lekat wang di tangan kerana bersedekah
- Tawakkal yang benar
- Bersifat arif dan bijaksana
- Kuat beribadat
- syukur yang benar
- Redha pada segala hukuman Allah
- Taqwa yang benar
- Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat hati yang waja lagi terpuji.

Biasanya  orang mencapai martabat ini tetapi tidak termesti, akan zahir padanya keramat-keramat  yang luarbiasa, mendapat ilmu dengan tak payah belajar (ilham) kerana ia dapat mengessan rahsia-rahsia Lohmahfuz. Syurga untuk orang golongan ini terjamin kerana mereka ibarat emas tujuh yang bermutu dan lebih mahal dari nilaian nafsu-nafsu yang lepas. Inilah dia nafsu mutma-innah.  Nafsu yang tetap bernilai dan terjamin dengan syurga bagaimana diterangkan oleh Tuhan dalam Quran tadi iaitu dialah yang wajar menerima jemputan Syurga Tuhan.


5. AHLI NAFSU RADHIAH

Tadi kita telah membicarakan nafsu mutma-innah yang memang sudah bergelar wali. Ini pula nafsu radhiah iaitu nafsu yang memang wali maqamnya tetapi ia lebih tinggi dari maqam wali mutma-innah tadi. Maqam nafsu ini dinamakan radhiah kerana selain daripada ia berjaya mencapai kejilahan dan kejernihan hati yang teguh itu maka nafsu ini terpocok kejap di dalamnya dengan perasaan keredhaan pada segala hukuman Allah. Bukan senang hendak mencapai maqam keredhaan nafsu ini kerana ia bukanlah umpama sebarang benda yang boleh disumbatkkan ke dalam sarang qalbu jika tidak ada sifat-sifat kelelakian yang benar-benar berhemah tinggi dalam perjuangan mujahadah dan ibadat untuk mencapai maqam nafsu mulia itu sebagaimana mengikut cara kaedah sufiah.

Oleh itu tabiat orang maqam ini adalah luarbiasa, ia tidak takut pada bala Allah dan tak tahu gembira pada nikmat Allah, yang ia tahu hanya keredaan Allah dan hukumanNya. Bahkan gentar gembira atau bala nikmat adalah sama jua di sisinya.

Malah segala masalah keduniaan sama saja di sisi orang-orang wali martabat ini. Wang ringgit sama dengan daun kayu, emas sama dengan tanah kering, segala kesusahan biasa mengenal hal-hal kehidupan dunia bagaimana tak tahan dirasa oleh manusia awam jauh sekali melekat di sarang hati mereka telah diisyaratkan oleh firman Allah :

"sesungguhnya orang-orang wali Allah itu tak pernah rasa ketakutan dan tak pernah rasa kerunsingan di atas mereka itu"

Mengapa hati mereka sampai begini sekali? Jawabnya ; kerana nafsu mereka sudah terkikis dari akar umbi kesemua sekali karat-karat yang cemar dan pula sinaran nur syuhud  yang membau mereka kepada makrifat, datang bertalu-talu masuk ke dalam hati nurani mereka yang tetap waja itu.

Alam di sekeliling mereka laksana cermin yang boleh mereka nampak Allah di dalamnya setiap ketika bagaimana mawam musyahadah terdapat dalam 'al-ihsan' pada umpama sabda Nabi S.A.W.

Maqam ini digelarkan wali Allah dalam martabat orang khawas. Dan mawam ini baru boleh diibarat emas bermutu lapan. Syurga memang terjamin. Di antara sifat-sifat kerohanian yang timbul dari benih radhiah yang berwaja dan tetap mahal nilaian ini ialah sifat-sifat yang berikut :

- Zahid
- Ikhlas
- Warak
- tinggal perkara-perkara yang bukan kerjanya
- tunai dan tepatkan hukum-hukum Allah
- Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat kerohanian yang tinggi-tinggi

Orang-orang wali maqam radhiah ini dapatlah ia mengecap nikmat sifat-sifat budi yang luhur atau sifat-sifat kerohanian yang tinggi itu dalam setiap ketika.


6. AHLI NAFSU MARDHIYYAH

Tak syak lagi maqam mardhiyyah ini lebih tinggi dari maqam radhiah kerana nafsu mereka dan segala hal atau segala apa-apa baik percakapan atau lakonan yang keluar dari mereka adalah diredhai Allah dan diakui Allah. oleh itu maka jadikan jiwa mereka, perasaan mereka, lintasan atau khuatir hati mereka, gerak geri mereka, penglihatan mereka, pendengaran mereka, percakapan mereka, pancaindera mereka, penumbuk tangan mereka, penendang kaki mereka, peludah air liur mereka dan seterusnya kesemuanya adalah diredhai Allah belaka.

Sabda Nabi S.A.W. dalam hadis Qudsi

"Sentiasalah hambaKu berdamping diri kepadaKu dengan mengerjakan ibadat sunat hingga aku kasihkan dia maka apabila Aku kasihkan dia nescaya adalah Aku pendengarannya yang ia mendengar dengan dia, penglihatannya yang ia melihat dengan dia, pertuturan lidahnya yang ia bertutur dengan dia, penampar tangannya yang ia menampar dengan dia, berjalan kakinya yang ia berjalan dengan dia dan fikiran hatinya yang ia berfikir dengan dia"

Maksudnya ialah segala perbuatan atau lakonan yang terbit dari hamba Allah yang wali umpama ini adalah kesemuanya berlaku dengan keredhaan Allah dan keizinan Allah belaka. Oleh itu maka timbullah dari sisinya perkara-perkara ganjil ajaib dan luarbiasa pada pandangan orang ramai umpama berjalan di atas air, terbang di udara, pergi ke Makkah dalam sekelip mata dan lain-lainnya. Dan kerapkali setengah daripada tingkah-lakunya terjadi sebagai tanda kenyataan Allah atau takdir Allah.

Ingatkah tuan cerita Nabi Isa A.S.? iaitu tatkala ia melawat sebuah kubur orang mati dan ia berkata kepadanya serta diisyaratkan kepada mayat dalam kubur itu yakni berdirilah engkau dengan izin Allah! Maka mayat dalam kubur itu pun hidup dan bangun berdiri dan berjalan hidup-hidup.

Cerita umpama itu juga berlaku pada Syeikh ahmad bin Idris (Imam Tareqat Ahmadiah) iaitu pada suatu hari, datang kepadanya seorang suami mengadu hal tentang kematian isterinya akibat ia memukulnya dengan tiada kesedaran dan menyebabkan ia menyesal di atas perbuatan itu, Sidi Syeikh pun jatuh rasa belas kasihan lalu ia pergi ke tempat isteri yang mati itu dan ia berkata kepadanya 'Bangunlah engkau dengan izin Allah' maka bangunlah mayat itu berjalan hidup-hidup.

Sebuah cerita lagi berlaku pada Syeikh abdul Qadir Al-Jailani iaitu tatkala ia sudah selesai dari makan dan tertinggal di hadapannya sisa-sisa tulang ayam, lalu ia menyeru kepada tulang-tulang ayam itu dengan katanya : 'Hai Tulang...! jadilah engkau ayam kembali!'. Maka terjadi tulang-tulang itu seekor ayam berlari hidup-hidup. Sedang ibu seorang budak khadam Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani menyaksi perkara ganjil itu dengan keadaan pelik.

Mengapa keganjilan demikian berlaku? Jawabnya, ialah kerana pengucapan-pengucapan orang maqam mardhiyyah umpama ini telah diredhai dan diizini oleh Allah S.W.T dan satu perkara yang sayugia diingat bahawa di hadapan orang yang umpama ini jangan-janganlah celupar mulut mengatakan sesuatu yang menyinggungkan hatinya, takut-takut terkeluar dari mulutnya pengucapan-pengucapan yang diredhai Allah maka jadi celakalah orang itu.

Berkata Imam Tariqat ahmadiah Sidi Syeikh Ahmad bin Idris Rahmatullah Taala yang masyhur keramatnya :

"Permulaan tareqatku ialah 'gila' diperkatakan orang. 

Di pertengahan jalan, datang bermacam-macam ilmu pemberian Allah dengan tak payah belajar.

Dan di akhir Tariqatku ialah 'kun fayakun' (maksudnya datang bermacam-macam keramat jika dikehendaki."

Dengan huraian di atas terang dan fahamlah kepada kita maksud kata-kata hadis qudsi yang mengandungi cerita-cerita keramat tadi.

Orang mencapai maqam mardhiah ini digelar wali Allah dalam martabat Khawas Al-Khawadh yakni wali Allah dalam martabat yang istimewa daripada wali-wali yang tertentu.  Ibarat emas bermutu sembilan, syurga tetap terjamin.

Sifat-sifat budi atau kerohanian yang timbul dari benih waja mardhiah yang bertuah ini, diantaranya ialah :

- elok dan tingginya budi atau kesusilaan, umpama nabi-nabi
- Lemah lembut dalam pergaulan masyarakat ramai bagaimana perangan nabi-nabi
- Sentiasa rasa selera perdampingan dengan Allah
- Sentiasa berfikir pada kebesaran Allah
- Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah
- Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat budi kesusilaan yang terpuji


7. AHLI NAFSU KAMIL

Orang yang hendak mencapai nafsu kamil ini mestilah ia lalui dahulu proses perjalanan nafsu-nafsu satu demi satu yakni dimulai dari nafsu amma-rah, kemudian lawwa-mah, kemudian mulhamah, kemudian seterusnya. Ini jika ia menurut jalan adab tarbiah cara teratur, berlainan orang majdzub maka ia mungkin terlipat atau melangkah jalan dengan cara cepat tetapi orang majdzub ini dibimbangi tidak akan mencapai kejayaan kerana ia tidak ada istiqamah dalam perjalanannya. di sana ada jalan lebih baik dan lebih teratur dari itu iaitu jalan adab tarbiah guru melalui suluk campur jazbah. Inilah jalan terbaik sekali dalam dunia suluk dan tarbiah, seperti yang terdapat pada tareqat ahmadiah, Naqsybandiah dan lain-lain lagi.

Oleh itu orang yang hendak mencapai maqam nafsu al-kamil ini bukan senang malah berhajatlah kepada semangat yang benar-benar tinggi hemah dan berani menempuh jalan yang sukar-sukar dan susah-susah. Syeikh Abdul Kadir al-Jailani umpamanya, selama tiga puluh tahun lebih ia merempuh jalan umpama itu, lain orang lain pula perjalanannya : ada masa yang singkat, ada yang lama.

Maqam nafsu al-kamil ini adalah tertinggi dan teristimewa sekali dari maqam wali-wali yang lain di atas muka bumi ini kerana ia dapat menghimpunkan antara batin dengan zahir atau antara hakikat dengan syariat. Kerana itu maka ia digelarkan maqam Baqa', kamil mukammil, Al-insan kamil, yakni ruh atau hatinya kekal dengan Allah tetapi zahir tubuh kasarnya bersama-sama dalam pergaulan orang-ramai, jadi pemimpin membentuk masyarakat ke arah jalan yang diredhai Allah, seperti bagaimana yang terdapat pada khalifah-khalifah khulafa Al-Rasyidin di dalam zamannya atau sebagainya. Hati mereka umpama ini adalah kekal dengan Allah, sama ada di masa tidur atau jaga kerana mereka dapat musyahadah dengan Allah dalam setiap ketika. Dan maqam ini tidak dapat dinilai dengan apa-apa benda kejadian di alam ini walaupun dengan harga emas sebesar dunia ini kerana ia maqam khawas al-khawas. di ketika itu maka jadilah gerak geri mereka, tutur kata mereka, tidur jaga mereka, makan minum mereka, dan kelakuan mereka adalah ibadat semata-mata.

Rasul-rasul, Nabi-nabi dan wali-wali besar adalah terdiri dari golongan maqam ini belaka, tetapi pangkat Rasul lebih tinggi dari Nabi kerana Rasul maqam risalah ibarat berlian dan maqam nubuwwah ibarat intan.

Sifat-sifat budi utama yang timbul dari benih nafsu al-kamil yang teristimewa ini ialah sifat-sifat kerohanian murni dan juga perangai-perangai terpuji bagaimana yang terdapat dalam peringkat-peringkat nafsu yang baik seperti kita telah huraikan dengan panjang lebar dahulu. Syurga untuk mereka maqam al-kamil ini tetap teristimewa. Ibarat emas bemutu sepuluh.


KESIMPULAN KAEDAH SUFIAH

Dari penjelasan-penjelasan yang lepas dapatlah kita buat kesimpulan suatu kaedah begini :

* Tiap-tiap rasul adalah nabi
* Tiap-tiap nabi adalah wali
* dan tiap-tiap wali adalah orang sufi

Jadi, Rasul itu adalah orang sufi lagi wali lagi nabi.

Dan tidak boleh dikatakan nabi kalau tidak wali. Dan tidak boleh dikatakan wali kalau tidak orang sufi. Dengan demikian maka rasul itu mestilah orang sufi mengikut pengertian bahawa rasul itu adalah benar-benar berhati kerohanian yang sufiah, dengan tidak dikira atau diiktibar dari mana asal-usul datang perkataan sufi itu.

KESIMPULAN MAQAM-MAQAM NAFSU DAN PEMBALASANNYA MENGIKUT LOJIK SUFIAH

Dan dari penjelasan-penjelasan yang lepas juga dapatlah kita faham bahawa golongan ahli surga terdiri dari orang-orang yang keimanannya bermaqam-maqam dalam darjah  nafsu dan makrifatnya. Oleh itu ahli syurga adalah mengikut maqam-maqam beribarat seperti berikut :

1. Maqam berlian
2. Maqam intam
3. Maqam emas sepuluh
4. Mawam emas sembilan
5. Maqam emas lapan
6. Maqam emas tujuh
7. Maqam suasa
8. Maqam perak

Selain daripada golongan itu maka semuanya dinilai ahli neraka belaka kecuali orang-orang yang mendapat rahmat besar dan keampunan dari Allah Azzawajalla. Ya allah ya Tuhanku! Ampunkanlah kami dari golongan orang awam yang banyak berdosa ini. Kalau tidak dengan rahmatMu maka celakalah kami di akhirat nanti.

Adapun orang-orang kafir yang sudah musnah keimanannya di dunia (negara nafsu) ini serupalah telur busuk temelar yang tidak boleh hendak dibaiki kembali lagi. Hendak digadai tak laku, jika hendak disedekah tak dipeduli orang bahkan dijerkah dan dilaknatnya kembali. Maka tempat yang wajar untuk orang yang demikian ialah dilontar sejauh-jauh ke dasar kawah neraka jahanam buat selama-lamanya.

Begitulah hikmat Allah yang sangat rahsia. Allah jadikan syurga berlapis-lapis mengikut  kadar darjah maqam-maqam nafsu dan begitu juga sebaliknya Allah jadikan neraka.

Untuk kita sekarang, ukurlah diri sendiri lebih dahulu, kita berbuat apa sekarang? kemana kita akan pergi? adakah kita dari golongan orang yang akan bernasib baik? kalau tidak, maka akan buruklah padah di akhirat nanti.





No comments:

Post a Comment