Arkib Viewers

Thursday, January 10, 2013

HOLY WAR : Chapter 4 - Perang Salib II



FAKTOR PENDORONG KEPADA PERANG


          Pembukaan semula Raha yang dilakukan oleh Imaduddin Zinki pada tahun 1144M/539H dan Nuruddin zinki pada 1146M/541H merupakan sebab utama yang mendorong berlakunya Perang Salib II. Raha dianggap sebagai bandar yang mulia bagi orang-orang Kristian. Di sinilah bermulanya pendudukan Salibiah di timur. sementara itu, kebangkitan semula Islam yang dipelopori oleh Imaduddin Zinki dan Nuruddin Zinki adalah bahaya baru kepada pendudukan Kristian.


MUKTAMAR QUDS DAN BANTUAN POPE


          Melihat kepada bahaya kebangkitan yang dibawa oleh Nuruddin terhadap kerajaan Salib di timur, pemerintah-pemerintah salib telah mengadakan muktamar di Baitul Maqdis dan mengambil keputusan untuk meminta bantuan dari Pope dan raja-raja Eropah. Seorang utusan dihantar menemui Pope untuk mengadu dan meminta bantuan. Pope ketika itu Eugene III, bersetuju untuk menulis surat kepada raja-raja Eropah khasnya raja Perancis, Louis VII bagi melancarkan peperangan sebagai bantuan kepada penduduk Kristian di timur. Tugas sebagai perancang utama diserahkan kepada paderi Perancis, Saint Bernard de Clairvaux. Untuk tujuan tersebut, beliau telah mengelilingi Eropah dan menemui raja-raja Eropah. Seruan mereka disambut baik oleh Raja Perancis, Louis VII dan Maharaja German, Conrad III.

          Perhimpunan gereja diadakan di Venzelay, Perancis pada Mac 1146/540H atas arahan Louis VII. Dalam perhimpunan ini Saint Bernard memberikan ucapannya ditambah dengan kata-kata Pope yang menaikkan semangat pendengar lalu mereka laungkan 'inilah yang Tuhan mahukan'. Selepas itu diadakan pula perhimpunan di Ratisbon, Jerman yang dihadiri oleh ketua-ketua paderi dan mereka bersepakat untuk mengisytiharkan perang.


PERJALANAN PEPERANGAN


          Mereka berangkat merentasi Eropah dan sampai di constantinople pada Oktober 1147M/542H. Oleh kerana hubungan yang tidak baik dengan maharaja byzantine, Emmanuel, mereka meneruskan perjalanan menuju ke Asia Kecil.

          Conrad III melalui jalan yang pernah dilalui oleh angkatan perang salib I. Walaubagaimana pun, mereka diserang di Qounia oleh tentera Islam Saljuk dan terpaksa kembali ke Naqih. Dari Naqih mereka menaikii kapal menuju ke Baitul Maqdis. Sementara Louis VII pula, berjalan melalui persisiran pantai tetapi diserang oleh tentera Islam saljuk di Pisidie dan mereka lari ke Itolia. Di sana Louis VII meminta bantuan dari gabenor Byzantine untuk mendapat kapal menuju ke Antioch. Di Antioch mereka di sambut baik oleh Raymond, raja Antioch. Raymond berhasrat menyertai peperangan bersama-sama mereka. Walaubagaimana pun mereka berselisih pendapat apabila raymond bercadang untuk terus memerangi Halab dan Qisaria yang berada di bawah pemerintahan Nuruddin kerana kesan penaklukan ke atas kedua-dua buah bandar tersebut akan dapat melemahkan tentera Nuruddin dan menjamin keamanan kerajaan salib, sebaliknya Louis VII berkeras untuk menziarahi Baitul Maqdis terlebih dahulu. Akhirnya timbul ketegangan antara keduanya dan Louis VII berangkat menuju Baitul Maqdis.


DAMSYIK DIKEPUNG


          Di Baitul Maqdis, mereka bertemu dengan maharaja Jerman yang telah sampai terlebih dahulu. Berlaku perbincangan bersama antara louis VII dan Conrad III dengan raja Baitul Maqdis dan ketua-ketua paderi di bandar Aka. Hasil perbincangan ini mereka bersetuju untuk menyerang Damsyik terlebih dahulu walaupun Damsyik merupakan sekutu yang dapat menolong mereka menyerang Zinki. Ini disebabkan dengan penaklukan ke atas Damsyik akan melemahkan muslimin dan menjamin keamanan kerajaan salib dari serangan baru muslimin serta dapat menjadikan Damsyik sebagai benteng kepada Baitul Maqdis.


          Dengan keputusan ini pada mei 1148M/543H mereka berangkat menuju ke Damsyik untuk mengepungnya. Pemerintah damsyik ketika itu, Muinuddin mengambil langkah meminta bantuan dari Saifuddin Zinki. Saifuddin bertindak segera menggerakkan tenteranya dan diikuti oleh saudaranya Nuruddin Zinki menuju ke syam. Beliau menghantar surat kepada Muinuddin dengan katanya, 'Aku datang dan bersamaku semua pemikul senjata dari negeriku, aku berharap inilah giliranku bertemu tentera salib di damsyik. Sekiranya aku kalah, aku akan masuk ke kota dan bertahan di dalamnya. Sekiranya aku menang, Damsyik adalah hak kamu dan aku tidak akan mengambilnya dari kamu'.


TENTERA SALIB BERUNDUR DAN BERAKIHRNYA PERANG


          Apabila mendengar kemaraan tentera Saifuddin dan Nuruddin, tentera salib merasa gerus dan takut. Raja Baitul Maqdis, Boudouin dan ketua-ketua paderi berhimpun dan berjumpa dengan Louis VII dan Conrad III. Mereka menyatakan kebimbangan terhadap kekuatan yang dimiliki oleh tentera Saifuddin dan sekiranya ia berjaya menguasai Damsyik maka ia merupakan ancaman yang besar kepada kerajaan Baitul Maqdis. Sementara itu, Damsyik berjanji menyerahkan Banias sekiranya kepungan dibatalkan. Pada tahun 1148M/543H, mereka mengambil keputusan berundur dan kepungan dibatalkan.

          Dengan ini bermakna tamatnya perang salib II tanpa mencapai sebarang matlamat disebabkan kesilapan yang mereka lakukan iaitu menyerang Damsyik sekutu mereka.


KEMARAAN NURUDDIN


          Nuruddin meneruskan kemaraannya dengan memerangi musuh-musuhnya dari kalangan salibiah dan kerajaan Damsyik. Beliau berjaya membuka beberapa kota di utara Halab. Beliau juga menyerang Antioch dan membunuh raja Antioch, Raymond dan raja Raha, Goslene II sehingga Raha dan sebahagian besar Antioch tunduk di bawah kerajaannya.


PENAKLUKAN DAMSYIK


          Pada tahun 1153M/548H, tentera salib menyerang Asqalan dan berjaya menaklukinya. Penaklukan ini memberi kesan yang besar kepada Nuruddin apabila beliau tidak berupaya memberi sebarang bantuan kerana dihalang oleh Damsyik, lebih-lebih lagi apabila beliau mendapati kerajaan Damsyik tunduk kepada kerajaan Salibiah. dengan ini, Nuruddin mengambil keputusan untuk menyerang dan menawan Damsyik. tindakannya mendapat bantuan dari dalam Damsyik iaitu dari ketua tentera, Ayub bin syazi. akhirnya pada tahun 1154M/549H Damsyik jatuh ke tangan Nuruddin. Ini bermakna kesemua wilayah di dalam negeri Syam kini berada di dalam kekuasaannya. Nuruddin melantik Ayub bin Syazi sebagai pemerintah Damsyik dan saudaranya Syirkuh bin Syazi sebagai pemerintah di wilayah sekitarnya.


MESIR: ANTARA NURUDDIN DAN SALIBIAH


          Mesir ketika ini berada dalam keadaan yang tidak stabil disebabkan perebutan kuasa yang berterusan untuk menjawat jawatan menteri. Khalifah Fatimi hanya merupakan simbol sedangkan kuasa berada di tangan menteri dan ketua tentera yang sentiasa bertelagah.

         Pertelagahan ini membawa kepada campur tangan Nuruddin dan kerajaan salibiah. Walaubagaimana pun kedua-dua belah pihak merasa bimbang terhadap ancaman satu sama lain. Namun mereka menaruh harapan untuk menaklukinya dengan tujuan menguatkan kedudukan masing-masing.


PEMBERONTAKAN SYAWIR AS-SA'DI


          Pada tahun 1162M/558H berlaku pemberontakan menjatuhkan menteri kerajaan Fatimi, ruzaik bin Tola'ik yang dilakukan oleh Syawir Sa'di, gabenor di utara Mesir. ruzaik berjaya dibunuh dan Syawir Sa'di dilantik menjadi menteri.

         Syawir Sa'di menjalankan pentadbiran yang buruk sehingga mendorong ketua tenteranya, Dhorgham bin A'mir al-Lakhmi berpakat dengan khalifah untuk merampas kuasa. Rampasan ini memaksa Syawir lari ke Damsyik dan meminta bantuan Nuruddin dengan janji untuk menanggung semua perbelanjaan perang dan membayar ufti tahunan sebanyak satu pertiga hasil negara. Nuruddin teragak-agak untuk membantu sehingga beliau menerima berita salibiah menyerang Mesir dan Dhorgham memeterikan perjanjian dengan salibiah serta membayar Jizyah kepadanya.

          Ini memaksa Nuruddin menerima pelawaan Syawir. beliau menghantar ketua tenteranya Asaduddin Syirkuh untuk menyerang Mesir. Turut sama dalam barisan tentera Salahuddin Al-ayubi, anak saudara Asaduddin. Asaduddin Syirkuh berjaya mengalahkan  Dhorgham dan Syawir dilantik menjadi menteri yang baru. Walaubagaimana pun, Syawir tidak menepati janjinya bahkan beliau membuat perjanjian dengan kerajaan Baitul Maqdis.

         Sekali lagi memaksa Asaduddin Syirkuh dan Salahuddin al-Ayubi menyerang Mesir. Mereka bertembung di Balbis pada Ramadhan 559H/1164M. Di tengah kesibukan tentera salibini, Nuruddin mengambil kesempatan untuk menakluk kota Harem dan Banias. oleh kerana takut ancaman Nuruddin ke atas kerajaannya, Amaury I meminta perdamaian dari Asaddudin syirkuh dengan syarat kedua-dua pihak berundur dan menyerahkan Mesir kepada penduduknya.

          dengan ini tamatnya pertembungan pertama antara Nuruddin dan kerajaan Baitul Maqdis merebut Mesir.


PERTEMBUNGAN KEDUA DAN YANG TERAKHIR


          Setelah melihat kedudukan mesir dalam pertembungannya pada kali pertama, Asaduddin syirkuh meyakini kepentingan menakluk mesir bagi tujuan melemahkan salibiah. Di atas dasar ini beliau meminta izin dari Nuruddin untuk menyerang Mesir sekali lagi iaitu pada tahun 1167M/562H.

          Apabila mendengar kemaraan tentera Nuruddin, Syawir meminta bantuan dari Amaury I, raja Baitul Maqdis. Peperangan berlaku di Al-munia dengan kemenangan besar dicapai oleh tentera Nuruddin. Asaduddin meneruskan perjalanan ke utara dan berjaya menawan Iskandariah tanpa sebarang tentangan. beliau meneruskan perjalanannya untuk menawan Kaherah dan fustat setelah menyerahkan pimpinan tenteranya di Iskandariah kepada Salahuddin Al-Ayubi.

          Di sini, Salahuddin telah menyerlahkan ketokohan dan kecerdikan, semasa Asaduddin menuju Kaherah, salibiah melancarkan serangan ke atas Iskandariah dan mengepungnya dari darat dan laut. Walaubagaimana pun Salahuddin berjaya menahannya sehingga datang Asaduddin. Sebagaimana peperangan yang pertama, kedua-dua pihak bersetuju untuk berundur dan menyerahkan Mesir kepada penduduknya. Walaubagaimana pun, amaury I tidak menepati perjanjian apabila sebahagian tenteranya tidak berundur dengan niat untuk menakluki Mesir selepas tentera Nuruddin berundur. amaury I kemudiannya menakluk balbis dan mara menuju fustat sehingga berlaku perjanjian antaranya dengan Syawir. dalam masa yang sama Nuruddin menggerakkan tenteranya yang diketuai oleh Asaduddin. Berlaku peperangan antara tentera salib dengan tentera Asaduddin yang bergabung dengan tentera Mesir sehingga tentera salib berundur.

          Dengan ini Asaduddin berjaya menawan Mesir dan kemudiannya merancang untuk membunuh Syawir. Syawir berjaya dibunuh pada tahun 1169M/564H dan Asaduddin dilantik menjadi menteri bagi Khalifah Fatimi. Pemerintahannya hanyalah dua bulan. Beliau meninggal dunia pada Jamadil Akhir 564H/ Mac 1169M.

No comments:

Post a Comment