Arkib Viewers

Monday, May 21, 2012

Perihal BSS : Makhluk Manusia dan Penciptaannya

Segala paparan di dalam siri ini telah di edit dari segi gaya bahasa, pengisian ayat, makna, istilah dan susun atur ayat yang lebih sesuai untuk pembacaan. Pengalaman membacanya sekali lagi di sini adalah berbeza dengan pengalaman membacanya di blog terdahulu.... harap maklum... Terima Kasih

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------ 


Makhluk yang digelar manusia ialah suatu makhluk yang amat tinggi tarafnya berbanding dengan makhluk2 yang lain. Ianya dicipta atas sebab-sebab yang hanya Allah S.W.t sahaja Maha Mengetahuinya. Bagi pengetahuan manusia pula, kita dicipta hanya untuk mengabdikan diri kita kepada Maha Pencipta yang Esa iaitu allah S.W.t tanpa ada sekutu selainNya. Kejadian manusia yang amat unik dicipta sangat berbeza dari ciptaan makhluk-makhluk yang lain merupakan suatu anugerah yang diberikan oleh allah S.W.t selaku dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini. 3 perkara utama atas asas sumber UTAMA yang mewujudkan makhluk manusia ialah:

JASAD
ROH
NAFAS

Jasad ialah perkara atau kejadian ciptaan Allah S.W.t yang 'nyata' dan 'berbentuk', mempunyai sistem-sistem dalaman dan anggota-anggota luaran, juga tidak kekal dan dapat berubah, dapat dihancurkan, dan dapat diolah atau dikaji oleh makhluk manusia yang lain. Roh pula ialah suatu perkara atau kejadian ciptaan Allah S.W.t yang 'tidak nyata' dan 'tidak berbentuk', tidak mempunyai sistem-sistem dalaman atau anggota-anggota luaran, ianya adalah 'kekal kewujudannya' dan tidak boleh diubah, diolah dan tidak dapat dhancurkan oleh makhluk manusia atau makhluk-makhluk yang lain. Nafas pula ialah suatu ciptaan iaitu 'RAHSIA' yang dimasukkan ibarat tali penghubung diantara roh dan jasad. Malah NAFAS pada makhluk manusia adalah sangat-sangat berbeza dengan NAFAS bagi makhluk-makhluk ciptaan Allah S.W.t yang lain. Kewujudan manusia itu sendiri boleh di ibaratkan seperti sebuah komputer dimana komputer mempunyai 'hardware' seperti'casing' atau 'mini rack' yang memuatkan motherboard, RAM, Hardisk, Power Supply segala kabel dan lain-lain yang mana ianya bersamaan seperti JASAD manusia yang mempunyai jantung, peparu, otak, urat dan lain-lain. Kemudian komputer mempunyai 'software' seperti windows dan perisian-perisian yang lain termasuk microsoft office atau skype, yang mana ianya bersamaan seperti ROH. JASAD dan ROH tidak berfungsi jika tiada kuasa yang menjanakan ianya. Tanpa sumber kuasa tersebut, HARDWARE dan SOFTWARE sesebuah komputer tidak bisa digunakan dan dimanfaatkan. Ianya hanyalah seperti barang perhiasan sahaja. Sumber kuasa yang menjana sesebuah komputer tersebut adalah Elektrik yang mana kewujudan manusia yang mempunyai JASAD dan ROH juga haruslah mempunyai janaan kuasanya yang tersendiri barulah manusia itu tadi boleh berjalan, berlari, bersolat, berdakwah dan beramal. Janaan sumber kuasa yang menghubungkan JASAD dan ROH manusia adalah NAFAS. NAFAS ibarat sebuah tali penghubung diantara ROH dan JASAD. Tanpa NAFAS, ROH dan JASAD tidak bermanfaat dan mati.

Manusia, jin dan haiwan merupakan makhluk-makhluk Allah yang mempunyai unsur kejadian, tingkah laku dan nafsunya yang tersendiri. Dari segi kejadian, manusia adalah asalnya daripada tanah dan mempunyai empat unsur iaitu angin, air, api dan tanah. Manusia terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang nyata dan yang ghaib. Manakala jin pula berasal daripada api yang sangat panas, tidak berasap dan terbahagi kepada satu bahagian saja iaitu yang ghaib. Haiwan adalah makhluk Allah yang yang juga terbahagi kepada dua bahagian sahaja iaitu tubuh dan naluri yang mana naluri itu terjana dari NAFAS peringkat haiwan.

Jika dibandingkan dengan ketiga-tiga makhluk ini, manusilah yang mempunyai darjat yang tinggi sebagaimana firman Allah di dalam Al Quran 'sesungguhnya telah Kami ciptakan manusia itu sebaik-baik kejadian'. Kejadian manusia yang nyata ialah JASAD menakala yang ghaib ialah ROH dan kelebihan yang ada pada manusia ialah akal/fikiran yang boleh menimbang antara baik dengan jahat dan antara yang BATHIL dengan Yang HAQ.

Manusia itu indah dan tinggi kejadiannya kerana ia menanggung suatu amanah Allah s.w.t yang mana lain-lain kejadian tidak sanggup menanggungnya. Manusia mempunyai Jasad, Roh dan Nafas.

Untuk menjadikan Khalifah di muka bumi ini Allah telah mencipta manusia yang pertama berbentuk jasad iaitu ADAM sebagaimana yang disebut dalam surah Al-Hijr ayat 26-27 :
'Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia ( Adam ) dari tanah liat yang kering ( yang berasal ) dari lumpur hitam yang diberi bentuk dan Kami telah menciptakan Jin sebelum ( Adam ) dari api yang sangat panas.'

Setelah itu Allah telah meninggikan darjat manusia dengan menjadikan manusia sebagai Khalifah di muka bumi sebagaimana firmanNya dalam surah Al Baqarah ayat 30 :
'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah di muka bumi'

Istimewanya kejadian manusia ialah apabila dilihat jasad Adam yang kaku dan tidak bernyawa telah ditiup dengan roh (ciptaan) Allah, sebagaimana disebut dalam surah Al Hijr ayat 29 :

'Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan telah meniupkan ke dalamnya roh ( ciptaan )Ku maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud'.

Kita dianugerahi oleh Allah suatu kemuliaan yang jauh lebih tinggi daripada yang terfikir dan dirasakan oleh manusia itu sendiri, iaitu ruh, kerana roh ini Allah khususkan untuk manusia sahaja dan tidak untuk yang lain. Masakan Allah telah memberi perintah kepada para malaikatNya untuk bersujud kepada Adam sekiranya tidak ada sesuatu keistimewaan yang ditempatkan oleh Allah s.w.t di jasad Adam.

Jasad Nabi Adam a.s diciptakan oleh Allah s.w.t. daripada tanah liat yang kering kontang atau hitam berlumpur. Ini berbeza dengan kejadian jasad selepasnya. Jasad selepas Adam diciptakan berasal daripada air (air mani) iaitu percantuman air suci daripada insan lelaki dan perempuan dan memakan masa selama 9 bulan 10 hari di dalam kandungan Ibu sebelum dizahirkan sebagai bayi. Semasa di dalam kandungan Ibu, jasad bayi ini melalui proses-proses tertentu dan apabila bayi ini sudah matang di dalam kandungan ibunya barulah ia dilahirkan dan kelahirannya adalah bersama-sama Roh yang diamanahkan kepada jasad yang dilahirkan. Proses kelahiran manusia ini adalah lebih kurang sama dengan zahirnya Adam ke muka bumi dimana setelah Adam diciptakan oleh Allah s.w.t ia telah diletakkan atau disimpan di dalam syurga untuk menimba seberapa banyak ilmu yang boleh dan akhirnya setelah kejadiannya sebagai manusia itu matang ia telah dikeluarkan dari syurga dan di tempatkan di bumi.

Apa yang berlaku di syurga yang menyebabkan Adam dan Hawa dikeluarkan daripadanya adalah hanya sebagai penyebab. Allah ingin memberitahu kepada semua makhlukNya bahawa semua kejadian yang berlaku adalah mempunyai sebab dan penyebabnya. Allah juga ingin menyampaikan mesejNya kepada manusia khasnya kepada kaum Adam bahawa manusia perlu berhati-hati dan berwaspada kepada Iblis kerana hasutannya boleh disalurkan melalui manusia yang paling hampir dan yang paling disayangi oleh kita.

Roh adalah merupakan hak Allah s.w.t yang dipinjamkan dalam jasad manusia dan merupakan suatu alat penghubung antara manusia dengan Tuhan Maha Pencipta. Dengan adanya roh, maka manusia memiliki kedudukan yang sangat tinggi kerana memiliki salah satu unsur yang sentiasa dapat menghubungkan dirinya dengan Allah S.W.t. Oleh kerana itu tidaklah layak seseorang itu merasakan dirinya tinggi, mulia dan agung dengan hasil fikiran dan kebijaksanaannya kerana sebenar-benarnya semuanya itu datang dari Allah S.W.t belaka.

Manusia mempunyai amanah yang dipertanggungjawabkan iaitu membesar dan mengESAkan Allah s.w.t. dan diperintahkan supaya mencari jalan bagaimana untuk kembali kepada PenciptaNya iaitu Allah, dan Allah s.w.t telah menunjukkan jalanNya bagaimana manusia itu mampu kembali kepadaNya. Oleh kerana itu manusia telah diperintahkan supaya beramal kepadaNya sebagaimana dalam firmanNya di dalam Al Quran:

Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah (kepada Ku).

Roh tanpa jasad ia tidak akan dapat beramal. Amalan dapat dizahirkan apabila adanya jasad.Jasad tanpa roh adalah mati, roh tanpa jasad tidak akan dapat beramal. Maknanya disini, rohlah yang menghidupkan jasad, bergerak roh maka bergeraklah jasad, apa-apa juga perbuatan oleh jasad adalah datangnya dari perbuatan roh.

Pembangunan jasad mengikut usianya. Semakin lanjut umurnya maka semakin dewasalah jasad. Jasad memerlukan makanan untuk pembesarannya dan makanan yang diambil bagi tujuan ini adalah merupakan sesuatu yang mudah rosak dan tidak bertahan lama, maka apa yang terjadi pada jasad juga mudah rosak dan tidak tahan lama. Akhirnya apabila jasad menjadi tua ia akan memasuki tahap menanti kematian. Tetapi ini tidak berlaku kepada roh. Roh akan sentiasa berkeadaan muda dan tidak memerlukan makanan seperti yang diperlukan oleh jasad. Walaupun begitu, makanan roh adalah berbeza,
kerana ia berkehendakkan sesuatu yang halus dan seni untuk pembangunannya. Dengan kata lain roh adalah pemerintah yang memerintahkan jasad untuk melakukan sesuatu yang dikehendakinya. Apa yang diperintahkan oleh roh maka jasad akan melaksanakannya.

Sebenarnya roh diutuskan dalam jasad adalah untuk beribadah kepada Allah, sebagaimana dalam Firman yang dinyatakan sebelum ini, walaubagaimana pun apabila roh turun ke bumi dalam jasad, roh telah terpesona dan tertipu dengan apa yang ada di bumi yang mana menyebabkan ia lupa akan janjinya kepada Allah s.w.t iaitu beribadah kepada Nya. Roh akan lebih jauh tertipu dengan adanya bisikan daripada manusia dan jin sebagaimana peringatan yang diberkan oleh Allah dalam surah An Naas ayat 4-6 :

'Dari kejahatan pembisik, penghasut (syaitan) yang mengendap, Yang melemparkan bisikan dan hasutan ke dalam hati manusia, Dari kalangan jin dan manusia'.

Inilah yang membezakan antara manusia dengan haiwan, dimana haiwan tidak pernah dihasut oleh syaitan dan hanya mempunyai jasad dan naluri, bukannya roh. Walaubagaimana pun, kekuatan roh dan jasad manusia adalah bergantung kepada kekuatan NAFAS. Kuatnya NAFAS itu maka kuatlah ikatan antara jasad dan roh.

Dalam hal ini manusia selalunya lupa akan anugerah dan amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t kepadanya. Segala apa yang dipinjamkan oleh Allah kepadanya tidak dijaga seperti yang sepatutnya, malah ia lupa akan tanggungjawab yang ada padanya. Akal dan fikiran yang diberi oleh Allah s.w.t. digunakan hanya untuk keduniaan dan sedikit saja yang dapat menggunakannya ke jalan yang HAQ.

Nafas adalah sesuatu yang seni dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dirasai. Dari segi saintifik, nafas mempunyai oksigen yang memberi kehidupan kepada jasad. Tanpa oksigen yang cukup jasad akan menjadi lemah dan tidak stabil. Kita memerlukan oksigen yang banyak untuk menstabilkan jasad dan menenangkan fikiran.

Nafas ialah sesuatu yang bersifat CAHAYA (NUR) dan adalah merupakan alat yang digunakan oleh roh dalam menyatukan dirinya dalam jasad. Nafas berada dimana-mana dan sentiasa keluar masuk dalam jasad dan ia tidak bertempat. Malah apabila nafas masuk ke dalam jasad ia mengembara dan melalui beberapa 'maqam' yang ada di dalam jasad dan kemudiannya keluar dan bercantum dengan nafas-nafas yang keluar dari jasad-jasad yang lain. Nafas juga boleh terbang dan pergi sejauh yang tidak dapat kita sangkakan dan kemudiannya kembali kepada kita apabila kita memerlukannya. Nafas juga merupakan tali penghubung kepada Allah s.w.t bagi roh dan jasad.

Hubungan antara nafas dengan roh dan jasad adalah seperti layang-layang dengan tali dan dengan orang yang mengendali layang-layang tersebut. Naik atau jatuhnya layang-layang itu bergantung kepada orang yang mengendalinya. Kita boleh ibaratkan layang-layang ini adalah jasad, tali layang-layang adalah nafas manakala orang yang mengendali layang-layang itu adalah roh. Penghubung antara roh dengan jasad adalah nafas.

Nafas perlu dipelihara dan dijaga dengan baik supaya apabila ia masuk kedalam jasad ia membawa perkara-perkara yang baik dan apabila keluar akan membawa perkara-perkara yang tidak baik dari jasad kita. Nafas mempunyai perhubungan yang penting seperti berikut:-

1. Nafas adalah satu alat yang padanya izin Allah diletakkan.
2. Nafas bertanggungjawab membawa sifatullah dari hati ke pelbagai pusat badan, fikiran dan roh.
3. Nafas menimbulkan keseimbangan dan harmoni kepada sesuatu ragam badan.
4. Nafas membawa unsur-unsur kehidupan dari luar badan ke dalam badan untuk fungsi-fungsi jasmaniah.

Nafas adalah pengatur suka, duka, gembira marah, dengki dan lain-lain emosi. Kuantiti dan kualiti nafas mempunyai kesan langsung dan tertentu terhadap kesihatan manusia. Pelbagai kejadian fizikal atau jasmaniah boleh mengubah , menutupi atau melitupi intipati ketuhanan yang dibawa dalam nafas.

Menggunakan nafas pada jalan atau melakukan perkara yang tidak baik, ini akan merosakkan nafas. Nafas yang rosak apabila masuk ke dalam jasad akan juga merosakkan jasad dan apabila jasad rosak kesannya akan menimbulkan berbagai-bagai penyakit jasmaniah yang memerlukan ubat bagi pemulihannya. Tetapi yang lebih nyata dan merosakkan ialah jasmaniah yang sakit akan menyebabkan roh yang ada di jasad akan tidak tenang dan akan mendedahkan roh itu kepada ancaman-ancaman dari bisikan-bisikan jahat jin dan manusia.

Nafas adalah merupakan pertalian antara Tuhan Semesta Alam dengan manusia. Dari mula kita dilahirkan sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir, kita sebenarnya telah menggunakan nafas kita bagi tujuan suatu kehidupan. Setiap satu nafas yang digunakan adalah akan memendekkan jumlah keseluruhan nafas yang dipinjamkan oleh Allah s.w.t kepada kita. Maka oleh itu jaga dan hargailah nafas yang ada pada kita dan juga gunakanlah nafas itu kepada jalan kebenaran dan bukan sebaliknya.

Dalam surah Yusuf ayat 53 Allah SWT telah berfirman:

'Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana seseungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku, sesungguhnya Tuhan ku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang'


Ahli Tasawuf (kesufian) membahagikan nafsu manusia kepada beberapa tingkatan:

1. Nafsu ammarah, yang suka menyuruh kepada kejahatan.
2. Nafsu lauwamah, yang berjuang antara kebaikan dan kejahatan.
3. Nafsu musauwilah, yang pandai menipu sehingga kejahatan nampak sebagai suatu kebaikan.
4. Nafsu muthmainnah, yang tenang dan tenteram.

Nafsu ammarah adalah tingkatan nafsu yang paling rendah dalam jiwa manusia dan lebih tinggi dari itu ialah nafsu lauwamah, yang telah mengenal buruk dan baik, dan selalu berjuang menentang keinginan-keinginan yang buruk. Nafsu musauwilah sentiasa menggambarkan yang buruk berupa kebaikan dan yang paling tinggi ialah nafsu muthmainnah iaitu nafsu yang telah sampai ke tingkat ketenteraman dan kesucian.

Oleh kerana itu perlulah kita menjaga dan mengawal perjalanan nafas supaya nafas yang kita gunakan tidak akan bertukar kepada tiga kelompok pertama nafsu di atas. Banyak kaeadah yang digunakan oleh manusia untuk menjaga nafas masing-masing dan kaedah-kaedah ini boleh memberikan kesan yang positif kepada mereka. Bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang kaedah bagi penjagaan nafas, adalah amat merugikan

Daripada nafas ini juga maka timbullah suatu amalan yang diberi nama BUDI SUCI SEJATI, iaitu suatu amalan yang menggabungkan NAFAS, JASAD dan ROH dan nafas dalam amalan ini pula adalah merupakan sesuatu yang teramat penting dan UTAMA.

Assalamualaikum


2 comments:

  1. As-Salam...bro Edy boleh ke saya nak belajar BSS drpd mula hingga akhir, boleh jumpa tak, saya dah ambil tapi tak ada jumpa guru yg betul...bro edy tiggal mana boleh jadi sifu tak....boleh kasi email email saya smartkid78@gmail.com.

    ReplyDelete
  2. Aslm, nk tanya owner blog ni masih ada lg ke? Sbb lama sgt x update blog. Klu masih ada sy teringin nk berkenalan sbb tertarik dgn ilmu dan maklumat dlm blog ni. Mcm mana nk hubungi tuan? Boleh emel sy mkanetwork@gmail.com

    ReplyDelete