Arkib Viewers

Monday, December 31, 2012

Questions & Answer ~ Mengenai Budi Suci Sejati dari sudut pandang seseorang


soalan ini pernah diajukan oleh salah seorang hamba Allah di thread hamba dimana dia bertanyakan mengenai statement yang dikeluarkan oleh Dr. Amran Kasimin.. jadi hamba pon cuba membidas dan menghuraikan dengan cara yang cukup professional selari dengan persoalan yang dikemukakan...


walaupun yang sebenarnya, bab kesesatan nie dah berkali-kali dihuraikan tetapi ianya pasti akan timbul jua dari masa ke semasa.... yang sebenarnya dah lama dah hamba ingin huraikan  mengenai Dr. Amran Kasimin, tetapi masih tidak berkesempatan lagi. Malah memandangkan tiba-tiba pula nak timbulkan topik mengenai nya takut pula menyinggung mana-mana pihak. tetapi disebabkan dah terkeluar soalan dari forumer sendiri, makanya, hamba pun berbesar hatilah untuk menjawabnya secara ringkas dan sepadat mungkin....

Hamba Allah yang membuat kenyataan itu... menurut blog katanya dia seorang pengkaji BSS.. malangnya apa yang dikaji pon hamba tidak pasti.. apatah lagi dia pun bukan dan tidak pernah menjadi seorang ahli BSS pun walaupun sehari, inikan pula ingin memberikan hujah mengenai amalan Budi Suci Sejati. Apa yang menariknya ialah si hamba Allah ini mengeluarkan suatu kenyataan yang begitu 'kontra' dari apa yang BSS anjurkan. malah.. lagipula hamba Allah ini katanya mendapat sumber dari rujukan internet juga dan buku-buku sejarah.....  (buku sejarah yang mana satu, Wallahualam.) berikutan kenyataannya itu jika dilihat dari suatu sudut, makanya dia menceritakan suatu kisah pada zaman kerajaan majapahit kalau tidak silapnya. Apabila timbul sahaja suatu ilmu yang dapat menumbangkan pihak musuh dari jarak jauh, makanya, begitu senang seseorang itu menyamakan sesuatu keilmuwan itu misalan nya. Yang menjadi musykilnya, apakah hamba Allah itu sendiri wujud pada waktu itu atau dah hidup dan lahir ke semasa kisah si cau pandan tuhh.. dan dia BEGITU YAKIN kerr dengan tudingan jari nya kepada keilmuwan BSS ini bahawanya amalan yang diceritakan dalam kisah lagenda tersebut adalah amalan Budi Suci Sejati.


hamba cuba ambil semula petikan kenyataannya dan akan cuba menghuraikan secara berhemah dan professional..

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dr. Amran Kasimin: 
Ketika bertapa, latihan jiwa dilakukan. Di antaranya, ialah duduk bersila dengan mengosongkan ingatan dalam keadaan menghadap matahari naik dengan memejamkan kedua belah mata, meletakkan tapak tangan kanan di atas lutut kanan dan tapak tangan kiri di atas riba. Turun-naik nafas juga dijaga, bagaikan mendengar degupan jantung. Perlakuan dan kedudukan zahir yang menyerupai pertapaan Buddha, menyebabkan ilmu itu dinamakan ilmu Buddha Suci yang akhirnya bertukar menjadi ilmu Budi Suci. Ilmu ini, iaitu yang diperolehi melalui pengasingan diri (tapa) itu dikembangkan di Indonesia dan kemudiannya di Malaysia di tahun enam puluhan.



JAWAPAN: Sejak bila pula Keilmuwan Budi Suci Sejati ini ada pertapaan.. dan yang paling lucu, adakah dia tahu tentang 'buddha tsu chi' yang disebut-sebutkannya itu. apa yang cuba dijelaskannya yang sebnarnya lebih kepada teknik 'YOGA', dan secara dasarnya YOGA dari hindu/Buddha bukannya BUDDHA. tetapi perihal menjaga turun naik nafas itu pula ada sedikit persamaan dengan senaman TAI CHI.. atau tenaga dalam.. malah dia berkata tentang pengasingan diri.. mana ada persatuan BSS menganjurkan 'pengasingan diri' untuk memperolehi amalan ini.. Dan perlu diingat... Pertapaan itu sendiri tak menjadi salah sebenarnya... Malah Rasulullah sendiri mengasingkan diri ke Gua Hira' untuk bertafakur. Dan teknik turun naik Nafas juga amatlah elok untuk diamalkan selagi ianya tidak bersalahan dengan akidah dan Tauhid seseorang.

Dr. Amran Kasimin: 
Untuk mendapatkan keberkesanan yang maksimum, juga untuk menggabungkan latihan fizikal dan spiritual, ilmu Budi Suci mempunyai kaedah-kaedah tertentu yang perlu dipatuhi.Untuk mempelajari ilmu tersebut, seseorang murid itu perlu menyediakan bahan-bahan tertentu, di antaranya ialah:
  • Seekor ayam jantan yang telah tumbuh taji.
  • Tujuh jenis kuih Melayu.
  • Tiga meter kain putih.
  • Daun kelur.
  • Sepiring pulut kuning.

JAWAPAN: Sekali lagi agak lucu jika melihat dari senarai 5 perkara tersebut. Dah macam mengarut pulak. Tak tahu lahh kalau dia mereka-rekanya atau mendapat dari sumber laman-laman web 'kejawen'.. apa yang pastinya.. langsung tiadanya penggunaan kelima-lima perkara tersebut.. kalau ada macam itu sudah tentu ianya boleh menjadi Fitnah kepada Umum apatahkan pula nak jamu siapa benda-benda tu semua???.. so tak relevan lagi lahh kenyataan itu.

Dr. Amran Kasimin: 
Ketika sebelum menurunkan ijazah,guru akan membaca ungkapan-ungkapan di bawah ini yang akan diikuti oleh murid berkenaan. Hal sedemikian dilakukan dalam keadaan bersalaman seperti yang dijelaskan.
  • Membaca Bismillah hingga akhir.
  • Asyhadu alla ilaha ilallah. La haulawala quwwata illa billahi laliyil-'aziim.
  • Aku mohon keramatnya Syeikh Subandari, Sheikh Maddi, SheikhHuri, Ya Hanafi, Ya Shafie, Ya Maliki, Ya Hanbali, Ya Allah, Ya Allah,Ya Allah.
  • Aku mohon kepada Allah berkat keramatnya, supaya Allah melindungi diri daripada pukulan (atau tujuan-tujuan lain). Ya Allah selamatkan diriku. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Ya Hayyu, Ya Qayyumu, La Yamut.
Dengan ini maka tamatlah pengurniaan ijazah. Murid berkenaan dibenarkan mengamalkannya, serta mengadakan latihan di padang, atau di tempat-tempat tertentu yang disediakan selepas majlis tersebut. 



JAWAPAN: Yang hanya betul cumanya mengucap dua kalimah syahadah dan juga membaca ungkapan basmallah. itu tidak menjadi salah langsung dalam agama islam. yang menjadi salah ialah dua kalimah syahadah menjadi 1 kalimah syahadah.. seperti perkara point nombor 2 itu. Kerana apa?? sebelum ini kann hmba pernaha kata hamba banyak pengalaman dimana jika ada orang kerasukan cuba suruh mereka mengucap dua kalimah syahadah, tentu tak akan perfect punya, mereka tidak akan sanggup untuk mengungkap kalimah yang kedua. kerana JIN mempunyai sebab tertentu atas kenapa tak dapat mengungkapnya, nantilah hamba cuba huraikan di lain post. lagi satu BSS mengucap dua kalimah syahadah dahulu barulah membaca basmallah. yang di atas itu sudah terbalik. apa yang tertera di atas juga tiada langsung persamaan dengan keilmuwan Budi Suci Sejati. so sekali lagi tak boleh diterima pakai..

Dr. amran Kasimin: 
Terdapat sebanyak 13 jurus atau langkah dalam amalan ilmu Budi Suci, iaitu jurus tumbuk, jurus siku kebelakang, jurus tolak dan tekan, jurus tolak, lambung musuh, jurus tarik buang dan jurus untuk membuang senjata dari tangan musuh.Jurus-jurus ini adalah jurus biasa , manakala jurus berikut dinamakan jurus bahaya atau jurus maut. Jurus-jurus tersebut dinamakan jurus tusuk jantung, jurus kerat leher, jurus potong perut, jurus senjata memakan diri dan jurus garis keselamatan diri.


JAWAPAN: 13 Jurus??? macam Nasrul Haq jerrr.. lagi sekali lagi tak sama.. ungkapan JURUSAN itu sendiri ada hamba huraikan dalam posting yang lepas-lepas.. cuba semak semula. Nama-nama JURUS itu juga tak sama.. apatah lagi BSS mempunyai 50 JURUSAN yang perlu dipelajari. 

Dr. Amran Kasimin: 
Selain daripada jurus-jurus yang dijelaskan, terdapat satu jenis jurus yang dinamakan dengan jurus pengunci. Jurus dilakukan dengan bacaan tertentu dengan mengisyaratkan kedua belah tapak tangan kepada musuh, seumpama kelakuan menikam sesuatu yang dilakukan serentak dengan hentakan tumit kanan ke tanah,yang disertai dengan menahan nafas. Dengan berbuat demikian musuh akan terkaku, tidak boleh bergerak, sama ada ke hadapan, kanan atau kiri,yang diistilahkan sebagai "terkunci". 


JAWAPAN: Dah nampak sangat sam dengan Nasrul Haq, jurusan itu dinamakan 'satu per empat alip' yang mana seseorang itu akan terkunci. dan kelakuan menikam dan menahan nafas itu adalah sama dengan ilmu kebatinan bukannya ilmu HAQ seperti yang BSS anjurkan. harap maklum.

Dr. Amran Kasimin: 
Untuk mepelajari ilmu Budi Suci ini,seseorang itu hendaklah berupaya melakukan sesuatu yang disuruh oleh agama Islam, dan jangan meninggalkan sesuatu yang disuruh, terutamanya sembahyang lima waktu, puasa dan sebagainya. Selain daripada syarat-syarat asas ini, syarat-syarat lain ialah jangan menzalimi orang lain. Ilmu yang dipelajari bukan untuk menunjuk-nunjuk, takbur atau dilakukan untuk sesuatu yang salah. Jangan bongkak, jangan mudah marah dan dapat mengawal diri.


JAWAPAN: Tiada pula BSS anjurkan begitu, langsung tak sama. Pasal sembahyang dan Puasa itu terpulanglah pada individu tersebut untuk melakukannya, Amalan budi Suci Sejati tak memaksa langsung, tetapi AGAMA ISLAM yang meletakkan perkara-perkara itu adalah dalam Hukum WAJIB. Dan Budi Suci Sejati hanyalah amalan tambahan yang mana ianya cuma amalan yang ditambah sahaja dalam kehidupan. Tiada kena mengena dengan bersolat, soal hukum hakam Fekah mahupun beribadat. Mengenai bongkak, riak dan takbur itu pula sudah tentu mana-mana amalan sekalipun mengajar muridnya supaya jangan Riak dan Takabbur kerana itu adalah sifat Syaitan yang nyata... Jadi tidak salah rasanya amalan Budi Suci Sejati juga mengajar ahlinya supaya bersifat merendah diri dan juga saling memaafi dalam sesuatu perkara.

Terima Kasih

Wednesday, December 26, 2012

HOLY WAR : Chapter 3 - Kebangkitan Keluarga Zinki

          Keadaan sosial dan politik masyarakat Islam ketika itu merupakan faktor utama yang membantu kejayaan angkatan tentera salib I. Pertembungan dalaman dan peperangan sesama sendiri antara pewaris-pewaris kerajaan Saljuk adalah faktor pembantu kepada kejayaan Salibiah di negeri syam.

          Suasana yang buruk ini berpunca dari hilangnya asas agama, keruntuhan akhlak dan nilai kemasyarakatan. Dunia Islam memerlukan kepada kebangkitan baru seorang pemimpin yang mampu menyelamat dan mengembalikan keamanan, menghapuskan kezaliman dan kerosakan kepada muslimin khususnya dan dunia seluruhnya.

          Suasana buruk ini terus kekal walaupun selepas penjajahan salibiah sehinggalah Allah mendatangkan beberapa orang pemimpin yang soleh yang berusaha menghapuskan suasana tersebut. Gerakan ini bermula dengan kebangkitan keluarga Zinki yang kemudiannya diikuti dengan kebangkitan keluarga Al-Ayubi.


KELUARGA ZINKI


          Keluarga Zinki (Qasimuddaulah Aqsanqar) mula dikenali di zaman Sultan Malikshah As-Saljuki. Beliau adalah hamba dan sahabat kepada Malikshah. Apabila Malikshah ditabalkan sebagai sultan, Aqsanqar dilantik menjadi menteri dan ketua tenteranya. Kemudian Aqsanqar dilantik menjadi gabenor di Halab dengan arahan dari Malikshah.

          Pentadbiran Aqsanqar di Halab berterusan sehinggalah berlaku peperangan antara beliau dengan Tajuddaulah yang berakhir dengan kematiannya pada tahun 487H. Beliau hanya meninggalkan seorang anak kecil bernama Imaduddin berusia 10 tahun.


IMADUDDIN ZINKI AL-ATABIK


          Imaduddin di zaman kecilnya berada di bawah jagaan pewaris dan sahabat-sahabat ayahnya. diantara yang terkenal ialah Imaduddin Karbughar, raja Mausil. Beliau terlibat dalam serangan ke atas kerajaan salibiah pada zaman mudanya yang menampakkan ketokohan dan keberaniannya sehingga mendapat perhatian sultan saljuk dan Khalifah Abbasiah. Pada tahun 516H, beliau dilantik menjadi ketua polis Basrah dan pada tahun 519H dilantik menjadi ketua polis di Baghdad dan Iraq. akhirnya, pada tahun 521H beliau dilantik sebagai gabenor di Mausil. Dari sinilah terbukanya ruang untuk beliau memulakan kebangkitan.

          Imaduddin Zinki adalah seorang yang mempunyai hemah yang tinggi. beliau tidak mempunyai kepentingan atau tujuan lain selain dari membentuk sebuah kerajaan Islam yang bersatu dan mampu menyekat kemaraan salibiah sekaligus menghapuskan bahaya mereka. Sistem politiknya dibina di atas asas mewujudkan keamanan dan keadilan di dalam negeri disamping berusaha meluaskan wilayah kerajaannya di luar. Dari sini kerajaannya mula meluas meliputi Jazirah Furat, Utara Furat, Hamsa, Halab, Baklabak dan Mi'ratun-Nu'man. Semua wilayah dalam negeri Syam berjaya ditakluk kecuali Damsyik dan kerajaan-kerajaan salibiah. Perlu diingat bahawa kerajaan-kerajaan salibiah dan kerajaan Damsyik merupakan musuh utama kepada kebangkitan yang di bawa oleh Imaduddin Zinki.


PEMBUKAAN RAHA


          Pembukaan terbesar yang pernah dilakukan oleh Imaduddin Zinki ialah pembukaan Raha pada tahun 1144/539H dari rajanya Goslene II. Raha merupakan kerajaan salibiah yang pertama dibina oleh mereka semasa perang salib I dan orang-orang kristian menganggapnya sebagai bandar yang mulia selepas Baitul Maqdis.

          Imaduddin meneruskan jihadnya sehingga tahun 1146/541H apabila beliau mati dibunuh ketika tidur oleh hamba yang dirancang oleh musuh-musuhnya. Peristiwa ini berlaku semasa kepungan ke atas kota Ja'bar dilakukan.


NURUDDIN MAHMUD ZINKI


          Dengan kematian Imaduddin, kerajaannya telah dibahagikan kepada dua orang anaknya yang tertua. Sebelah timur diserahkan kepada anaknya yang tertua, Saifuddin Al-Ghazi yang berpusat di Mausil sementara sebelah barat diserahkan kepada Nuruddin Mahmud yang berpusat di Halab. ini bermakna kerajaan yang dipegang oleh Nuruddin terpaksa berhadapan dengan kerajaan salib. Perhubungan yang baik dan intim antara kedua-dua saudara ini merupakan jaminan yang besar kepada kestabilan kerajaan mereka.

          Selepas kematian imaduddin zinki, musuh-musuh beliau mengambil kesempatan dari kematiannya untuk merampas kawasan-kawasan yang berada di bawah kekuasaannya. Goslene II merampas kembali Raha dan raja damsyik merampas Baklabak. Rampasan ini telah menggerakkan tentera Nuruddin seramai sepuluh ribu untuk mengambil kembali Raha. Akhirnya pada November 1146/Jamadil akhir 541H Raha berjaya dikembalikan ke tangan muslimin iaitu hanya selepas seminggu dirampas oleh Goslene II. Seterusnya Nuruddin bertindak meluaskan kerajaannya ke kawasan jajahan salibiah.

          Di tengah-tengah kesibukan usaha ini, Eropah menerima berita kejatuhan Raha dan kebangkitan keluarga Zinki dan Nuruddin. mereka mula merasa bahaya dari kebangkitan ini lalu membuat persediaan untuk melancarkan perang salib II.




Tuesday, December 18, 2012

Mengenal Diri dan Wali Allah - BAB PERTAMA : Siapakah Kita? Dari Mana Dan Akan Ke Mana? Apakah Dia Ruh Dan Kalbu?

Sabda Rasulullah S.A.W.

"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! Iaitulah kalbu (hati)." - Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Dari keterangan hadis itu dapatlah kita faham bahawa perbicaraan kemuncak asal usul manusia ialah hati (kalbu). Hati dalam diri manusia laksana raja pemerintah yang sangat ditaati oleh rakyat. Manakala anggota-anggota lahir : Umpama kaki, tangan, mata, hidung, mulut, telinga, perut, faraj, zakar dan sebagainya laksana rakyat jelata yang sentiasa patuh pada perintah raja. Bila ia memerintah kaki supaya menendang nescaya menendang lah ia, begitulah seterusnya.

Hati itu juga dipanggil 'hakikat keakuan' - aku itu aku ini, aku pergi ke sana, aku datang ke sini, rumah itu kepunyaan aku, kereta itu aku punya, aku.... aku aku. 'Aku' itulah sebenarnya hakikat insan kerana ia ganti nama bagi ruh atau kalbu dan dia laksana Tok Dalang wayang kulit sedangkan tubuh badan atau anggota-anggota kasar yang lahir laksana belulang kering. Apabila ia bercerai dari tubuh badan kasar nescaya jadi tubuh badan itu sebatang kara umpama tunggul kayu yang menunggu hancur reput.

Dialah yang akan menerima hukum pembalasan sama ada baik atau jahat di negeri akhirat, dialah yang memerintah negara-negara besar di dunia ini. Dialah yang menakluki makhluk-makhluk ini menjadi hamba abdi kepadanya, dialah yang menundukkan benda-benda jamadat, nabatat, hayawanat taat di bawah perintahnya, dialah juga punca hikmat dijadinya alam ini, kalau tidak kerananya sudah tentu segala makhluk dan syurga neraka tidak dijadi.

Dia datangnya dari alam ghaib atau alam al amr, oleh itu dia akan kembali ke alam ghaib. Ia wujud sebelum alam kasar atau alam Syahadah (kenyataan) ini wujud. Ia ditumpangkan ke alam dunia tempat sementara ini kerana ada tujuan untuk menerima ujian. Ia datang dari alam kejadian Tuhan yang aneh (Ruhaniah) yang tidak menerima binasa dan fana selama-lamanya.

Dialah yang menanggung rasa bahagia atau celaka di akhirat, dialah yang akan menerima suka duka dunia akhirat. Dialah yang sudah mengenali Tuhan di alam aruah sebelum benda-benda atau apa-apa ini dijadikan. dialah yang mengetahui segala hakikat suatu dengan tanggapan ilmunya. Dialah yang sudah hidup, melihat, mendengar, bercakap dan seterusnya bersifat dengan sifat-sifat ma'ani sebelum ia bercantum dengan tubuh badan kasar.

Dialah yang digelarkan fitrah Allah* yang sudah mengenali dan mengetahui agamaNya dengan tidak payah belajar atau mentelaah kitab di alam aruah yakni ia sudah mengenali segala-galanya sebelum ia dihantar atau dicantum dengan alam kasar (syahadah) ini. Malah ia pernah mengakui dan menyaksi di alam aruah bahawa Tuhan yang Esa itu ialah Allah bagaimana diceritakan dalam Quran dengan firmanNya :

(*Fitrah Allah ialah tabiat semulajadi penerimaan agama dan makrifat pada Allah.)

"Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab bahkan."

Dialah juga dijadikan sebab diutuskan rasul-rasul ke alam dunia ini untuk mengawasi dan mengingati kembali mengenai perkara-perkara agama yang sudah manusia mengenali di zaman aruah dahulu, mudah-mudahan supaya manusia tidak mengotor fitrahNya malah hendaklah sentiasa bersih dari awal sampai akhir.

Firman Tuhan :

"Dialah fitrah yang Allah jadikan sesuai pada manusia, tidak dapat di ubah-ubah lagi pada kejadian Allah, itulah agama Allah yang betul."

Adapun orang-orang yang tiada menerima dan tiada mempercayai agama Allah yang disampaikan oleh rasul-rasul di dunia ini maka itulah tandanya mereka sudah mengotor fitrah bersih mereka yang asli dan sudah terpesong dari kebersihannya, dengan sebab itu mereka berhak mendapat gelaran 'kufur' di sisi Allah dan sewajarnya mereka akan kekal di dalam neraka Na'uzubillahimin Zalik.


Dialah juga tidak dijadikan atau dihantarkan ke alam syahadah ini melainkan dengan ada hikmat ubudiyyah iaitu beribadat  dan berbakti kepada Allah, Firman Allah :

"Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya beribadat kepada Aku"

Dari huraian-huraian tersebut dapatlah kita mengerti dan faham seksyen-seksyennya :

Siapakah kita?

Dari mana kita datang?

Di mana kita sekarang?

Dan akan kemanakah kita?


PERBEZAAN-PERBEZAAN KALBU, RUH, NAFSU DAN AKAL

Perrkataan atau kalimah-kalimah kalbu, ruh, nafsu dan akal itu tetap berbeza dan tidak serupa pada sebutan dan bentuk tetapi pada hakikatnya adalah satu pada tujuan dan maksudnya. Ikutilah huraian-huraian bagaimana di bawah :


Perkataan Kalbu Ada Dua Pengertian :

Yang Pertama : Kalbu makna pertama ialah kalbu lahir atau yang dikatakan hati kasar iaitu seketul daging besar segempal tangan terletak dalam dada sebelah kiri manusia. Hati jenis ini berongga dan jadi tempat mengisi dan mengepam darah untuk menjalar ke seluruh urat saraf manusia. Hati ini memang dapat dilihat, dijamah, dan dikerat belah oleh pisau. Ia akan hancur dan busuk berulat bila mati. Hati jenis ini terdapat sama pada jenis haiwan-haiwan yang tidak berakal yang mana tiada nilaian sedikit pun di sisi Allah.

Yang Kedua : Kalbu dengan makna yang kedua ialah hati batin atau hati seni yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tak dapat dijamah dengan tangan dan tak dapat dikerat potong oleh pisau, tetapi ia dapat dirasa oleh pengakuan batin sendiri tentang wujudnya, dan iaitu ialah suatu kejadian yang latifah rabbaniyyah atau yang dapat kita bahasakan dengan hati seni kejadian Tuhan yang ruhani. Hati ini yang berhubung rapat dengan kerja-kerja hati kasar tadi. Perhubungan kerja di antara kedua-duanya itu ialah suatu perkara yang tak dapat diterangkan oleh seluruh otak doktor jenis manusia kerana hati  batin umpama ini datang dari kejadian alam ghaib, manakala hati kasar adalah dari benda-benda alam kasar ini. Bandingannya boleh diberi begini : Hati batin itu laksana raja pemerintah dan hati kasar itu umpama istana raja tempat ia bertakhta dan anggota-anggota lahir umpama kaki, tangan dan sebagainya laksana rakyat jelata. Ia akan patuh kepada perintah raja, hati jenis ini tidak akan busuk, berulat dan tidak akan hancur buat selama-lamanya bila tubuh relai dari nyawa, dialah yang akan menemui alam akhirat. Dialah yang berasa bahagia dan celaka di dunia atau di akhirat.

Dengan hati latifah rabbaniyyah inilah maka hati kasar (jantung) itu dapat hidup dan berdenyut. Ia mempunyai sifat-sifat ta'aqul dan juga sifat-sifat ma'ani dari sejak ia dijadikan di alam aruah yakni sebelum ia bercantum dengan alam kasar ini. Ahli-ahli falsafah dan tasauf adalah bersependapat dan menanamkan hati jenis ghaib ini yakni ia bukan dari jenis benda, jirim atau aradh bahkan ia atau zatnya dapat berdiri sendiri dan terkaya daripada tubuh badan kasar. Hati dengan makna yang kedua inilah hakikat kejadian manusia yang mempunyai tanggungjawab kepada Tuhan dunia-akhirat.


Perkataan Ruh Ada dua Pengertian :

Yang Pertama : Ruh tabi'i namanya iaitu suatu kejadian wap atau gas yang keluar dari dalam hati kasar atau jantung yang berisi darah hitam. Wap atau gas itu berjalan dengan lancarnya ke seluruh bahagian urat saraf dalam anggota badan manusia. Bandingannya samalah seperti cahaya lampu di dalam sebuah rumah, ia dapat menyampaikan sinaran cahayanya ke seluruh ceruk dalam rumah itu. Ruh macam inilah digelar oleh doktor-doktor dunia hari ini dengan nama istilahnya 'Ruh'. Tetapi penulis lebih cenderung pengertian yang diistilahkan oleh doktor itu dapat dipadankan kepada istilah bahasa melayunya 'nyawa'. Jika logik demikian, maka jadilah istilah pengertian doktor itu adalah sama dengan pengertian 'nyawa' yang ada pada jenis-jenis haiwan yang tidak berakal iaitu wap atau gas yang terjadi dari angin keluar masuk dari udara ke dalam jantung dan paru-paru. Pada hal ruh yang sebenar  ialah ruh dari kejadian ghaib bukan dari jenis benda angin atau sebagainya, ruh makna yang pertama ini tidak ternilai sedikit pun di sisi Tuhan.


Yang Kedua : Ruh makna yang kedua ialah satu kejadian dari alam keanehan Tuhan yang dibahasakan kepada latifah rabbaniyyah iaitu serupalah dengan pengertian kalbu pada makna yang kedua tadi. Oleh itu ruh dan kalbu masing-masing dengan pengertian keduanya adalah sama pada hakikat dalam erti yang satu iaitu suatu kejadian Tuhan yang seni dan berupa bagaimana bentuk badan kasar kita masing-masing.

Ruh pengertian yang kedua ini tiada dapat dimengertikan sama sekali oleh seluruh otak manusia dari jenis apakah ia dijadikan? Dan bagaimana dikimia atau diramunkan, Firman Allah :

"Dan mereka lagi akan bertanya kepada engkau wahai Muhammad. Berkenaan Ruh hendaklah engkau jawab kepada mereka bahawa ruh itu adalah daripada urusan pekerjaan Tuhan"


Perkataan Nafsu Ada dua Pengertian :

Yang Pertama : Nafsu makna yang pertama ialah suatu pengertian yang meliputi segala tabiat-tabiat : marah, nafsu berahi dan syahwat dan termasuk juga sifat-sifat yang keji umpama hasad dengki, dendam kesumat, tamak haloba, ria' dan sebagainya. sifat tersebut sama ada wujudnya pada kejadian binatang dan manusia, sedikit atau banyak tetapi ia tiada sama sekali pada kejadian malaikat. Sabda Rasulullah S.A.W.


"Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau"

maksudnya hati engkau yang berhawa nafsu jahat, dan dengan sebab nafsu inilah datangnya syarak atau agama Allah menuntut setiap orang supaya menyuci dan mengawasinya setiap ketika.


Yang Kedua : Nafsu dengan makna yang kedua ialah suatu kejadian 'latifah rabbaniyyah' bagaimana huraian dalam pengertian yang kedua pada ruh atau kalbu yang demikian tadi,  oleh itu kalimah-kalimah : Nafsu, kalbu, dan ruh bolehlah dipakai kepada satu hakikat latifah yang sama pada jenis kejadian manusia dan sangatlah jauh berbeza dengan makhluk-makhluk lain yang umpama binatang.

Tetapi jika *diitlaqkan nafsu itu maka ghalibnya dipakai kepada nafsu yang jahat, nafsu jahat itu apabila digosok dan dicuci dengan sabun-sabun zikir kepada Allah dan diberus dengan tembaga mujahadah dan ikhals kepada Allah serta dipandu dan dipimpin pula oleh guru yang ahli maka sedikit demi sedikit akan terkikislah sifat-sfat karut kejahatan nafsu tadi, kemudian menunggu ia ketibaan warid atau nur dari Allah dan kemudian ia akan berpeluang pula mengecap Dzauq atau Syuhud yang kita gelarkan dia dengan hakikat dan makrifat, di waktu itu maka nafsu jahat tadi akan bertukar mendapat gelaran baru iaitu nafsu mutma-innah yakni nafsu yang tenang dan teguh dari mendapat godaan syaitan, dengan itu bererti ia sudah masuk ke dalam darjah permulaan wali kecil wilayah sughra.

(*Diitlaq dipakai secara umum)

Tetapi sebelum sampai kepada maqam nafsu mutma-innah (wali kecil) maka nafsu tadi tak dapat tidak mesti menempuh jalan tiga peringkat :

Yang pertama - Peringkat 'amma-rah' namanya iaitu nafsu yang suka dan pecah liur kepada kejahatan. Nafsu peringkat ini adalah sejahat-jahat dan sehina-hina nafsu dari peringkat-peringkat lain.

Yang kedua - Peringkat 'lawwa-mah' namanya iaitu nafsu yang kerapkali mengkritik diri sendiri apabila ia terjatuh ke dalam lembah angkara dosa, dan cepat-cepat ia bertaubat dan meminta ampun kepada Allah serta menyesal, nafsu ini tinggi sedikit daripada peringkat pertama.

Yang ketiga - Peringkat 'mulhamah' namanya iaitu nafsu yang telah bersih dari segala kekotoran hati peringkat pertama dan yang kedua tadi, oleh itu ia selalu dapat ilham-ilham yang berguna dan luarbiasa. Nafsu ini memang lebih tinggi daripada nafsu peringkat kedua.


Perkataan Akal Juga Ada Dua Pengertian :

Yang Pertama - Akal dengan makna pertama ini ialah akal dengan tabiatnya dapat memikir dan mengetahui segala hakikat sesuatu

Yang Kedua - Akal dengan makna yang kedua ini ialah akal yang alim dengan ilmunya dan ilmunya adalah sebagai sifat bagi akal. Pengertian yang seumpama ini adalah sama dengan pengertian 'latifah rabbaniyyah' bagaimana telah dihurai dahulu itu kerana tidak mungkin apa yang dimaksudkan dengan akal itu melainkan dengan pengertian yang kedua pada perkataan kalbu dan ruh itu jua.

Sabda Rasulullah S.A.W.

"Awal-awal benda dijadikan oleh Allah Taala ialah akal, kemudian berkata Allah kepada akal : berhadap olehmu. Maka berhadap ia, kemudian berkata Allah kepadanya : Pergi olehmu maka jauh ia".

Jadi dengan huraian-huraian yang lepas, jelas kepada kita bahawa apa yang dimaksudkan dengan kalimah-kalimah kalbu, ruh, akal dan nafsu yang berlainan sebutan bagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis dan ayat-ayat Quran itu adalah satu erti jua pada hakikatnya iaitu 'latifah rabbaniyyah' yang dibahasakan kepada ruhani. Cuma yang berlainannya ialah bentuk dan sebutan kalimah-kalimah jua kerana mengikut pandangan dan iktibar dari segi-segi perkembangan jua : iaitu apabila ia kekal di dalam zulmah  syahwat nafsu dan maksiat maka pada ketika itu dinamakan 'nafsu'. apabila ia berasa gerun dan takut hendak melakukan maksiat dengan sebab terfikir bahawa perbuatan umpamanya itu suatu perkara yang dibenci Allah dan masyarakat maka diwaktu itu ia dinamakan 'akal'. Apabila ia tenang di bawah peraturan cahaya taat tetapi perasaannya sentiasa berbalik-balik, dan apabila ia tenang dan tetap jelira dengan Allah serta dibukakan mata ruhnya basirah dan disyuhudkan nur aslinya maka ketika itu ia dinamakan 'ruh'.


Di sana terdapat pula 'sirr' namanya iaitu apabila ia (nafsu) sudah bersih dari tarikan tabiat jahat hingga terjadi ia sebagai rahsia dan sirr semata-mata maka di waktu itu dinamakan 'sirr'. Tetapi semua nama-nama istilah itu tak lari daripada satu hakikat jua iaitu latifah rabbaniyyah namanya.

Inilah dia latifah rabbaniyyah satu daripada rahsia-rahsia yang datang dari alam ghaib Allah S.W.T. Firman Allah :

"Katakanlah wahai Muhammad, ruh itu satu daripada urusan rahsia-rahsia alam Tuhan yang ghaib"

Friday, December 14, 2012

HOLY WAR : Chapter 2 - Perang salib I

DETIK-DETIK PEPERANGAN


          Pierre I'Ermite seorang paderi yang berasal dari Amiaen, Perancis mengasingkan diri dan hidup secara rahib. Pada tahun 1093M/486H beliau keluar bersama pengikutnya untuk menziarahi dan menunaikan rukun suci (ibarat haji ke mekah) di Baitul Maqdis (Jurusalem). Walaubagaimana pun beliau terkejut apabila mendapati Baitul maqdis berada di bawah pemerintahan Islam menyebabkan beliau bersedih dan mendorong beliau untuk menemui ketua paderi Baitul Maqdis. Di pertemuan tersebut, beliau diberitahu bagaimana muslimin berjaya mengambil alih Baitul maqdis dan bagaimana Kristian ditindas di  Baitul Maqdis sehingga kedua-duanya menangis dan berpelukan. ini menguatkan keazaman Pierre untuk membebaskan Baitul maqdis dari penguasaan Muslimin.

          Beliau berangkat menuju Rom untuk berjumpa dengan Pope Urban II dan mengadu kepadanya apa yang berlaku di Baitul maqdis sebagaimana yang diceritakan oleh ketua paderi Baitul Maqdis dan keazamannya untuk merampas Baitul Maqdis. Pope berjanji akan memberikan sepenuh bantuan untuk tujuan itu. Atas arahan Pope, Pierre mengelilingi Eropah (Italy dan Perancis) dengan hanya menaiki keldai dan membawa salib di tangannya sambil menyeru di jalan-jalan dan gereja menceritakan tentang kedudukan Kristian di timur yang tertindas serta melaungkan supaya diadakan peperangan. Semasa menjelajah, beliau ditemani oleh orang kristian timur yang berada di eropah. beliau mendapat sambutan yang hangat di sepanjang perjalanannya. Mereka menangis bersamanya dan berjanji untuk sedia berkorban demi menawan Baitul Maqdis.

PERHIMPUNAN DI PLAISANCE


          Setelah melihat kejayaan usaha yang dijalankan oleh Pierre I'Ermite, Pope berusaha untuk mengadakan perhimpunan di bandar Plaisance, Utara itali. Perhimpunan ini mengumpulkan paderi-paderi dan cendekiawan-cendekiawan. Implikasinya, kesemua yang hadir bersepakat untuk bersama-samapergi ke Baitul Maqdis bagi melancarkan perang. Walaubagaimana pun  oleh kerana suasana yang tidak stabil di Eropah dan tiada persediaan, keputusan perhimpunan ini tidak dapat dilaksanakan.

PERHIMPUNAN DI CLERMONT


          Rentetan dari kegagalan perhimpunan di Plaisance, pada 26 Nov 1095/488H diadakan pula perhimpunan kedua di bandar Clermont, Perancis. Perhimpunan ini dihadiri oleh gabenor-gabenor, ketua-ketua paderi dan wakil-wakil raja. Berbekalkan semangat yang tinggi, mereka bersepakat mengisytiharkan perang ke atas Baitul Maqdis (Jurusalem). Kemudian pengisytiharan perang ini disebar ke seluruh Eropah sehingga mendapat sambutan dari penduduk-penduduk England, Austria, Itali dan sepanyol. Suasana di Eropah yang sedang mengalami kebuluran dan bencana alam ketika itu menjadi faktor pendorong utama pengisytiharan ini mendapat sokongan. Fenomena ini dieksploitasi oleh Pope dengan menbangkit-bangkitkan kekayaan yang dimiliki oleh timur kepada penduduk Eropah yang miskin dan melarat.

PERJALANAN PEPERANGAN


          Angkatan pertama yang dipimpin oleh Pierre I'Ermite berada dalam keadaan yang tidak teratur dan tidak lengkap, bahkan tidak mempunyai ketua tentera. Kebanyakannya tanpa senjata dan disertai sama oleh ahli keluarga mereka. Mereka berjalan dalam keadaan tidak terkawal, merosak dan merampas harta benda sehingga berlaku pertempuran dengan penduduk-penduduk negeri yang dilalui terutama di hungary menyebabkan kematian yang ramai ddi pihak mereka. 

          Akhirnya pada Julai 1096/489H, baki angkatan pertama ini sampai di Constantinople. Mereka terus ke bosfour oleh Maharaja Constatinople. Berita pendaratan mereka di Asia Kecil sampai ke pengetahuan Sultan Qalij Arsalan As-Saljuki. Sultan Qalij mengambil keputusan untuk menyerang mereka dan berjaya menghapuskan angkatan ini berhampiran dengan bandar Naqih. Baki angkatan pertama ini melarikan diri ke Constantinople.

          Dalam masa yang sama di Eropah, golongan feudal iaitu dari golongan pemerintah dan bangsawan bersiap sedia memperlengkapkan angkatan kedua, juga di bawah penyelenggaraan Pope. angkatan ini bergerak secara tersusun di bawah empat kumpulan :


  1. Angkatan dari selatan Perancis di bawah pimpinan Raymond de Saint-gilles.
  2. Angkatan dari utara Perancis di bawah pimpinan Robert courte-Heuse dan Robert II Comte de Flandre
  3. Angkatan dari pedalaman Perancis di bawah pimpinan Godfrey de Bouillon dan Baudouin de Boulogne
  4. Angkatan dari selatan itali di bawah pimpinan Tancred dan Bohemond.

Angkatan kedua ini berjaya menarik ramai sukarelawan di sepanjang perjalanan mereka terutama dari Jerman, Austria dan Hungary sehingga bilangan mereka meningkat membentuk satu angkatan tentera yang amat besar disertai oleh beratus-ratus ribu orang. Mereka sampai di constantinople dalam jangka waktu yang berbeza kerana perbezaan jarak jalan yang dilalui.

BERMULA DARI CONSTANTINOPLE


          Maharaja Constantinople, Alexis Comnene merasa takut dan curiga apabila melihat bilangan tentera salib yang terlalu ramai menyebabkan berlaku perselisihan antara mereka sehingga hampir berlaku perang sesama sendiri. Walaubagaimana pun kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai. Tentera salib bersetuju mengembalikan semula semua tanah yang berjaya dirampas dari kerajaan Saljuk untuk diserahkan kepada raja Constantinople.

          Sebagai balasannya, Alexis berjanji untuk memberikan segala bantuan kepada tentera salib.

PERJALANAN TENTERA SALIB DI ASIA KECIL


          Selepas perjanjian dimeteraikan, tentera salib menuju ke Bosfour kemudian ke Naqih dan sampai di sana pada Mei 1097. Mereka mengepung Naqih dan di sana berlaku beberapa siri pertempuran dengan tentera Qalij Arsalan. Akhirnya selepas 50 hari, Naqih berjaya ditakluk. Walaubagaimana pun menurut perjanjian, Naqih terpaksa diserahkan kepada raja Constantinople yang dilakukan pada Julai 1097.

          Mereka meneruskan perjalanan dan berlaku pertempuran sengit dengan tentera Qalij arsalan berdekatan dengan Dourili. Oleh  kerana bilangan tentera salib yang ramai, tentera Qalij Arsalan terpaksa menerima kekalahan. selepas itu, qalij Arsalan berundur dan melakukan taktik perang bumi hangus, membakar semua tanaman di sepanjang jalan untuk melemahkan tentera salib. Ini menyebabkan tentera salib menghadapi kehausan dan kebuluran sehingga ramai yang mati tetapi akhirnya mereka sampai di kawasan lembah di Pisidie yang mengandungi air.

          Mereka seterusnya menuju ke Qounia dan melalui jalan pergunungan  tourous sehingga sampai ke Armenia Kecil. Di sana, mereka disambut dengan baik dan diraikan oleh penduduk setempat yang majoritinya kristian. Mereka juga menerima bantuan tentera sukarelawan. Dari Armenia Kecil mereka berangkat menuju ke Antioch.

PENGEPUNGAN ANTIOCH DAN PENAKLUKANNYA


          Antioch memiliki banyak kubu yang kuat dan berada di bawah pemerintahan Yaghisan As-Saljuki. Apabila mendengar berita kemaraan tentera salib, Yaghisan membuat persediaan untuk berkubu. Tentera salib sampai di Antioch pada 20 Oktober 1097/491H.

          Disebabkan kekuatan kubu Antioch, mereka mengambil keputusan untuk membuat kepungan. Mereka terpaksa mengalami susah payah, kelaparan dan keletihan apabila kepungan berjalan selama 8 bulan menyebabkan ramai yang berputus asa dan lari pulang. Yang peliknya, orang yang pertama lari ialah Pierre I'Ermite, orang yang bertanggungjawab terhadap peperangan ini . Walaubagaimana pun ia dikejar dan dibawa semula oleh Tancred.

          Dalam masa yang sama, Kerajaan Fatimiyyah di Mesir mengambil peluang dari kegamatan dan kesibukan raja-raja Saljuk mempertahankan Antioch dengan menawan Baitul Maqdis. Selepas itu Khalifah Bani Fatimiyyah, Musta'li Billah menghantar wakilnya berjumpa tentera salib untuk membuat perdamaian dan berjanji menyerahkan gereja di Baitul Maqdis kepada mereka serta membuka pintu untuk pelawat-pelawat Kristian. Walaubagaimana pun permintaan itu ditolak.

          Antioch menerima bantuan dari Muslimin sekitarnya untuk membebaskannya dari kelungan terutamanya dari Halab dan Damsyik (Damascus) tetapi tidak berjaya. Akhirnya, pada Jun 1098, tentera salib dapat menawan Antioch selepas hampir setahun membuat kepungan hasil pengkhianatan yang dilakukan oleh ketua tentera Islam penjaga salah satu menara kubu Antioch, Fairuz Armani. Beliau berasal dari Armenia dan memeluk agama Islam. Seorang yang sukakan harta dan gilakan kedudukan. Sultan Yaghisan cuba melarikan diri tetapi dapat ditawan dan di bunuh oleh tentera salib.

          Dalam masa yang sama, bantuan dari Karbughar dan pemerintah Saljuk yang lain datang untuk membebaskan semula antioch. Mereka mengepung Antioch dan hampir berjaya menawan kembali tetapi berlaku perselisihan antara pemimpin-pemimpin tentera Islam menyebabkan kepungan mereka gagal. dengan ini antioch kekal di bawah pemerintahan Kristian dan Bohemond dilantik menjadi pemerintah.

PENAKLUKAN BAITUL MAQDIS


          Selepas enam bulan berehat, pada Januari 1099, tentera salib berangkat menuju ke Baitul Maqdis dan sampai di sana pada Jun 1099. Pada masa itu Baitul Maqdis di bawah Amir Fatimiyyah, Iftikhar Daulah. Kelemahan khalifah dan semangat yang ada pada tenteranya menjadikan kejatuhan Baitul Maqdis lebih cepat, hanya 40 hari sahaja dari tarikh pengepungan tentera salib. Pada Khamis 14 Julai 1099, Baitul Maqdis jatuh ke tangan tentera salib. Kejayaan ini mengembirakan mereka kerana ianya berlaku pada hari Jumaat bertepatan pada masa dan hari kematian Isa A.S. mengikut anggapan mereka.

          Mereka memasuki Baitul Maqdis dengan penuh keganasan, membunuh semua muslimin tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita, orang tua atau kanak-kanak. Seramai 70,000 orang dibunuh di dalam masjid dan tentera salib mengambil keputusan membunuh semua muslimin dan yahudi. mereka melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya selama beberapa hari dan membiarkan mayat-mayat bergelimpangan di jalan-jalan. ada di antara mereka yang melarikan diri ke Asqalan. Sementara yahudi yang bersembunyi di tempat ibadat mereka dibakar hidup-hidup. Berita kekejaman tentera salib dan tragedi yang menimpa Muslimin Baitul Maqdis menyebabkan Muslimin menangis beramai-ramai. Khalifah meminta raja-raja Saljuk menawan semula Baitul Maqdis tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka masih bertelagah sesama sendiri.

          Kerajaan Fatimiyyah di Mesir merasakan kedudukan mereka dalam bahaya. mereka membuat percubaan untuk menawan semula Baitul Maqdis di bawah pimpinan ketua tenteranya Al-Afdal Syahan Syah pada 14 Ramadan 492H/ 12 Ogos 1099. Walaubagaimana pun percubaan ini dapat dipatahkan oleh tentera salib berdekatan dengan Asqalan dan malangnya Asqalan pula jatuh ke tangan tentera salib.

BERAKHIRNYA PERANG SALIB I


          Setelah kekalahan tentera fatimiyyah di Asqalan, tentera salib dapat merasakan kelemahan tentera Islam dan berkurangnya ancaman kepada kerajaan Baitul Maqdis yang baru. Mereka mengambil keputusan untuk balik ke Eropah dan bersetuju melantik Godfrey sebagai pemerintah Baitul Maqdis. Godfrey menolak untuk memakai mahkota dan gelaran raja tetapi ingin digeelar sebagai 'penjaga kubur Al-Masikh'. Baki tentera salib meneruskan penaklukan ke kawasan persisiran pantai dan berjaya membina kerajaan-kerajaan salib di kawasan tersebut. 

PEMBENTUKAN KERAJAAN-KERAJAAN SALIB


  1. Kerjaan Raha. Dibina oleh Baudouin de Boulogne pada 18 Julai 1098/489H selepas pemerintah Raha, Armani meminta pertolongan tentera salib. Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1144/539H apabila berjaya dibebaskan semula oleh Al-Zinki.
  2. Kerajaan Antioch. Dibina oleh Bohemond disebabkan pembelotan Fairuz al-Armani. Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1267/667.
  3. Kerajaan Baitul Maqdis. Merupakan kerajaan salib yang paling besar dimana kerajaan-kerajaan lain tunduk kepadanya. Pemerintahnya digelar raja. Kerajaan ini kekal sehinggalah datang Salahuddin Al-Ayyubi membebaskan Baitul Maqdis dan menjadikan kerajaan ini hanya kekal di persisiran pantai dan A'ka dijadikan ibu negeri.
  4. Kerajaan Tarablus. Di bina pada tahun 1102/496H dan kekal sehingga tahun 1289/688H.
          




Tuesday, December 4, 2012

Adab Pergaulan & Tingkahlaku menurut Al-Quran & Al-Sunnah : BAB 5 - MENEPATI JANJI


Perkara yang sangat dituntut terhadap orang Islam ialah menunaikan 
janji setelah berjanji sama ada sesama muslim ataupun sebaliknya. Menunai 
setiap apa yang dijanjikan sangat dituntut dalam Islam sama ada perkara yang 
dijanjikan itu kecil ataupun besar selagi perkara itu tidak membawa kepada 
maksiat atau pergaduhan. 

Firman Allah dalam al Quran: 

‘Dan tunai olehmu akan janji sesungguhnya janji itu sesuatu tanggungjawab’ 
                                                                                         
                                                                                           (Surah Al-Esw: 34) 

Dalam ayat di atas Allah s.w.t. menyuruh semua hamba-Nya supaya 
menepati janji apabila dia berjanji dan hendaklah berpegang dengan janji apabila 
seseorang itu telah berjanji pada waktu dan tarikh yang dijanjikan. Maka 
hendaklah dia tunaikan pada waktu dan  tarikh yang telah dipersetujui itu, 
walau apapun halangan mestilah menepatinya. Peningkatan prestasi serta 
lambang keperibadian muslim yang baik dan disenangi adalah terletak pada 
ketegasan dalam menepati janji. Andainya terdapat sesuatu yang tidak boleh 
dielakkan, hendaklah dibatalkan ataupun diubah tarikh dan waktunya secara 
terbaik seperti isytihar kalau bedanji dengan pihak umum atau secara telefon 
sekiranya dengan individu, supaya pihak lain tidak ternanti nanti.

KEDUDUKAN JANJI 

Menunaikan janji adalah diwajibkan ke atas setiap muslim yang membuat 
janji tidak terkecuali melainkan apabila terdapat keuzuran, maka ia boleh 
ditangguhkan ataupun sebagainya sepertimana telah dijelas di atas tadi. 
Persoalan menepati janji amat dituntut dalam Islam kerna menepati janji ini 
merupakan penyempurnaan keperibadian seorang muslim dalam agama Islam, 
sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. 


‘Tanda orang munafik itu ada tiga perkara apabila bercakap dia berbohong, 
apabila berjanji dia mungkiri janji dan apabila dia diamanahkan dia 
mengkhianati’. 
                                                                       (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dalam berjanji amat penting untuk  mengingati dan ditunaikan kerana 
nilai diri seseorang muslim sebahagian daripadanya terletak pada kedudukan 
dan tanggungjawab menepati janji. Seandainya berjanji dan seringkali tidak 
ditepati maka kepercayaan orang lain terhadap seseorang itu semakin menurun 
dan berkurangan. Sebab itulah jangan mudah menerima janji serta berhati-hati 
terlebih dahulu, sekiranya diterima adakah boleh ditepati atau sebaliknya. 
Rasulullah s.a.w. amat berpegang dengan  janji. Setiap janji Rasulullah tidak 
pernah mencuaikannya bahkan dia tunggu sehingga pihak yang dijanjikan itu 
datang menemuinya. Kisah ini sepertimana didwayatkan dalam satu hadis 
daripada Abdullah bin Abi alHamsa' ra. berkata: 

‘Aku telah membuat satu perjanjian dengan Rasulullah sebelum dia dibangkitkan 
menjadi Rasul, dengan menjual suatu barang, setelah terdapat baki yang tidak 
dapat diselesaikan ketika itu dan aku berjanji untuk datang menyelesaikannya di 
suatu tempat, maka aku terlupa perjanjian yang dibuat bersamanya. Kemudian 
aku teringat selepas tiga hari maka aku datang. Tiba-tiba aku dapati Rasulullah 
berada di tempat itu, lalu beliau berkata, "Wahai pemuda! Sesungguhnya kamu 
telah menyusahkan ke atas aku, aku berada di sini semenjak tiga hari menunggu 
kamu". 

                                                                                         (Riwayat Abu Daud) 

Dari hadis di atas timbul persoalan mengapa Rasulullah amat berpegang 
pada janji sehinggakan beliau sanggup tunggu sampai tiga hari berturut-turut? 
Untuk menjawabnya perlu dijelaskan  kedudukan janji pada syariat. Ia 
merupakan suatu tanggungjawab sebagai  satu amanah yang mesti ditunaikan 
antara dua orang yang berjanji, setelah  dipersetujui antara dua belah pihak, 
maka apabila mengingkari perjanjian yang telah dipersetujui bererti 
mengabaikan amanah. Oleh itu kedudukan orang yang demikian adalah 
munafik sepertimana dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis tersebut di atas 
yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


Sebab itulah umat Islam disuruh  menunaikan janji apabila mereka 
berjanji. Sekiranya diragui tidak dapat menunainya jangan sekali-kali membuat 
janji, kerana ia adalah berat dan membawa kepada salah satu tanda daripada 
tanda-tanda munafik. (RujukIbnu Haiar Al-Asqalani. 1978. hlm. 218, juzuk 22) 
Seorang penyair telah mengambarkan sikap mungkir janji dengan tujuan untuk 
menghindarkan daripada sikap tidak menepati janji bila seseorang itu berjanji 
dengan katanya: 


Jangan kamu merungut apabila suatu masalah tidak dapat diatasi. 
Sesungguhnya penyempurnaan terhadap satu janji dalam suatu perkara dengan 
perkataan "Ya". 

Sebaik baik perkataan “Ya” selepas "Tidak", dan seburuk buruk perkataan 
"Tidak" selepas pengakuan "Ya". Sesungphnya "tidak” selepas "ya”, suatu yang 
tidak diingini. maka dengan perkataan "tidak", mulalah meringan meringankan 
tanggungjawab, dan mulalah hidupmu dipandang ringan yang membawa 
penyesalan selama lamanya. 


Dan apabila kamu berkata "Ya", maka sabarlah terhadap kesanggupan itu, 
dengan tujuan menjayakan perianjian  bagi mengelak bersalahan janji untuk 
menjauhi dari kamu dikeji.